

Pada awal bulan lalu di IFA 2017, Huawei telah memperkenalkan Kirin 970 kepada umum. Hari ini satu sidang media yang diadakan secara tertutup, kami telah diberi taklimat mengenai keupayaan cip berkenaan serta kebolehannya yang sangat pintar.
Cip yang telah memenangi anugerah terbaik oleh Android Authority ini adalah yang pertama di dunia menawarkan ciri kecerdasan pintar atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) pada set cip telefon. Direka oleh pengilang TSMC, cip ini dibina berasaskan 10nm dengan kapasiti melebihi 5.5 bilion transistor di dalamnya.
Tujuan cip ini dihasilkan ialah untuk memberikan pengalaman yang lebih sempurna kepada para pengguna. Huawei juga telah melakukan satu perbandingan dengan produk dari Apple iPhone 7 menerusi kecekapan telekomunikasi. Keputusan menunjukkan Kirin 970 dapat melakukan panggilan yang lebih stabil dan kuat berbanding pesaingnya.

Selain itu, Kirin 970 juga adalah cip yang pertama di dunia menyediakan sambungan rangkaian LTE Cat.18 kepada pengguna. Ia menyokong liputan 4G+ sehingga kelajuab 1.2Gbps – buat masa ini banyak pengeluar telefon pintar hanya menawarkan sambungan LTE Cat.16 sahaja. Malahan, cip ini juga mampu memberikan liputan VoLTE di kedua-dua slot SIM dimana pengguna boleh menikmati kualiti panggilan yang sama baik.

Bagi memastikan pengguna mengalami panggilan yang lebih baik, ciri AI juga membantu mengurangkan atau menghilangkan bunyi bising apabila anda bercakap bersama kenalan di dalam telefon. Untuk pengalaman hiburan, Kirin 970 kini berkebolehan memainkan muzik dalam definasi tinggi (HD) sehingga 32-bit (384K) melalui set kepala USB Type-C.
Untuk kamera pula, pemproses ini menyediakan respon serta fokus yang lebih pantas, mengesan pergerakan yang lebih tepat dan memproses gambar yang lebih terperinci dalam persekitaran yang gelap. Di samping itu, sistem pemproses juga akan mengoptimumkan keterangan dan warna pada wajah seseorang. Anda juga boleh lihat gambar contoh di bawah:



Apa pula yang ditugaskan kepada NPU (Neural Network Processing Unit) dalam definasi ini? Ia akan mengenal pasti sesuatu persekitaran atau objek apabila pengguna membuka kamera atau mengambil sebarang gambar. Seperti contoh, anda sedang merakam tempat-tempat bersejarah, Kirin 970 akan memproses imej dan memberitahu anda nama bangunan tersebut dengan memaparkannya pada skrin.
Menariknya, jika anda membuka kamera dan mengarahkannya pada buahan-buahan misalnya, Kirin 970 akan memberi maklumat mengenai jumlah kalori pada makanan tersebut dan ia juga akan menyatakan berat buah tersebut – fungsi ini dilihat antara yang menarik perhatian kami. Penggunaan tenaga pula, Kirin 970 boleh dikatakan agak efisyen kerana tenaga yang digunakan adalah 20% sahaja berbanding CPU yang menggunakan 100% kuasa pada prestasi yang sama.

Akhir sekali, untuk prestasi AI dalam pengecaman gambar, iPhone 8 Plus ditinggalkan hampir sekali ganda oleh Kirin 970 dan Snapdragon 835 pula mencecah 22 kali ganda setiap minit. Oleh itu, Huawei Kirin 970 boleh dikatakan cip pemproses yang pertama melakukan inovasi dalam teknologi pemproses telefon pintar.
Seperti yang dimaklumkan, peranti yang akan menerima Kirin 970 ialah Huawei Mate 10. Jadi, kita tunggu sahaja sehingga ia dilancarkan pada 16 Oktober kelak.

