

Ketika perniagaan di Malaysia semakin mengutamakan penghantaran yang boleh dipercayai serta penyelesaian logistik bersepadu, Ninja Van Malaysia kini memperluaskan perkhidmatannya melangkaui penghantaran jarak akhir bagi menyokong keperluan logistik perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang kian berkembang. Langkah ini merangkumi rantaian sejuk, penyelesaian pengangkutan kargo, serta penawaran Ninja B2B Restock yang diperkukuh—berteraskan pergerakan Muatan Penuh Lori (Full-Truckload, FTL) dan dilengkapi dengan pilihan Muatan Kurang Daripada Lori (Less-Than-Truckload, LTL) untuk muatan separa atau lebih kecil.
Peralihan ini berlaku ketika sektor logistik dan pengangkutan Malaysia terus berkembang, dengan nilai dianggarkan sekitar RM117.36 bilion dan dijangka meningkat kepada kira-kira RM153.78 bilion menjelang 2030. Pertumbuhan ini didorong oleh landskap e-dagang yang semakin matang, peningkatan penghantar bersaiz sederhana, serta perniagaan yang berkembang melangkaui platform pasaran kepada saluran milik sendiri. Seiring itu, perniagaan semakin menitikberatkan kebolehramalan, kadar kerosakan bungkusan yang lebih rendah, dantahap perkhidmatan yang konsisten—mengukuhkan trend bahawa kebolehpercayaan kini menjadi penentu baharu kepantasan. Keperluan ini turut meningkatkan permintaan terhadap rakan logistik yang mampu menyokong aliran B2C dan B2B secara menyeluruh.
2025: Tahun Pembinaan Keupayaan
Pada 2025, Ninja Van Malaysia memperkukuh asas penghantaran jarak akhirnya di samping membangunkan keupayaan logistik baharu bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin moden. Ini termasuk pengembangan Ninja Cold serta peluasan laluan rentas sempadan. Pada masa yang sama, Ninja Van turut memperdalam fokus terhadap logistik B2B dengan menangani jurang dalam landskap yang secara tradisinya manual dan berpecah-pecah, selaras dengan peningkatan permintaan terhadappenyelesaian bersepadu dari hujung ke hujung.
Usaha ini diterjemahkan kepada pertumbuhan ketara merentas segmen utama sepanjang 2025:
- Penghantaran jarak akhir: Menjangkau lebih 20 juta penerima bungkusan di seluruh negara.
- Ninja Cold: Dilancarkan pada Februari 2025, menyokong lebih 1,000 perniagaan dan kini mengendalikan kira-kira 100,000 bungkusan sejuk setiap bulan, dengan liputan penghantaran 100% di seluruh Semenanjung Malaysia.
- Ninja B2B Restock: Ninja Restock mencatat pertumbuhan dua kali ganda tahun ke tahun, menyokong kitaran pengisian semula yang lebih pantas dan boleh dipercayai untuk lebih 250 perniagaan. Pada masa yang sama perkhidmatan LTL menghantar sehingga 3,000 palet, terutamanya untuk penghantar B2B.
Lin Zheng, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia berkata, “Apabila ekosistem logistik Malaysia semakin matang, kepantasan semata-mata tidak lagi mencukupi. Perniagaan mahukan rakan logistik yang bersepadu dan boleh dipercayai—yang mampu menghubungkan aliran B2C dan B2B dengan lancar, di samping mengekalkan tahahp perkhidmatan yang konsisten sera mudah dijangka. Untuk menyokong peralihan ini, kami membangunkan penyelesaian yang bukan sahaja menggerakkan bungkusan dengan cekap, tetapi juga boleh menyesuaikan diri dan berkembang seiring perubahan keperluan pengguna. Matlamat kami adalah untuk menjadi rakan logistik yang boleh diharapkan oleh perniagaan merentasi penghantaran, rantaian sejuk, pengisian semula dan pengangkutan kargo.”
Memandang Ke Hadapan: Membina Fasa Seterusnya Pertumbuhan Logistik
Pada tahun 2026, Ninja Van Malaysia akan menumpukan kepada pengembangan keupayaan yang telah terbukti dan diterima pasaran, memperluas liputan geografi dan perkhidmatan, serta membangunkan penyelesaian logistik yang berkembang seiring keperluan perniagaan.
Penghantaran jarak akhir akan terus menjadi teras operasi syarikat, disokong oleh pelaburan berterusan dalam kepadatan rangkaian dan pengoptimuman laluan bagi membolehkan rantaian bekalan yang lebih bersepadu. Ninja Cold pula akan memperkukuh keupayaan e-dagang rantaian sejuk B2C, menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap penghantaran bagi produk segar, sejuk beku dan sedia dimakan, seiring penghantaran sejuk yang semakin menjadi kebiasaan arus perdana.
Bagi penghantar bersaiz sederhana, Ninja Van merancang untuk memajukan perkhidmatan B2B dengan memperkenalkan laluan LTL terus antara bandar serta penawaran Muatan Penuh Lori (FTL) pada separuh kedua tahun 2026, sekali gus memodenkan pergerakan kargo dalam segmen yang selama ini lebih banyak bergantung kepada model pengangkutan yang kurang fleksibel. Pada masa yang sama, perkhidmatan B2B Restock akan diperluaskan ke sektor perindustrian dan pembuatan, menjadikan kepantasan pengisian semula sebagai kelebihan daya saing yang semakin penting untuk perniagaan.
Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan peralihan lebih luas dalam landskap logistik Malaysia ke arah penyelesaian yang bersepadu, fleksibel dan dipacu kebolehpercayaan, bagi menyokong fasa seterusnya pertumbuhan ekonomi dan rantaian bekalan negara.

