
Pengguna Prabayar Atas Nama Individu Lain Akan Disekat – Arahan Terbaru SKMM
Boleh dikatakan setiap hari kita menerima mesej tidak berfaedah daripada nombor tidak dikenali. Kebanyakan teks mesej mengajak pengguna untuk menekan sesuatu pautan ataupun menawarkan peraduan berupa hadiah. Dalam masa sama, data dan privasi pengguna berisiko dicuri untuk tujuan tertentu. Ada pula yang mendakwa, wang simpanan boleh hilang dalam sekelip mata.
Hari ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan arahan supaya nombor prabayar yang tidak didaftar dengan betul akan dipadam daripada sistem telekomunikasi. Hal ini sedikit sebanyak dapat membasmi kes penipuan atas talian yang semakin merunsing di kalangan pengguna telefon pintar di seluruh Malaysia.

Menurut kajian, sebanyak 46 juta telefon pintar aktif di Malaysia, 69.5% atau 32 juta daripadanya adalah pengguna prabayar. Dalam kaji selidik SKMM pula, ramai diantara jumlah prabayar tersebut tidak didaftar secara sah atau identiti tidak sepadan dengan pengguna – ini bermaksud pengguna prabayar menggunakan nama individu lain untuk mendaftar kad SIM yang dibeli.
Melalui kenyataan Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata menjelang awal tahun depan sebanyak 1.6 juta pengguna prabayar akan disekat daripada menggunakan talian kecuali mereka tampil mengesahkan pendaftaran menggunakan identiti sebenar.
Dengan adanya langkah pencegahan ini, tidak lama lagi pengguna di Malaysia tidak lagi dihantui penipu-penipu siber.

