
Huawei Nak Lancarkan Telefon Pintar 4 Kamera Dinamakan Maimang 6?

Jika sekarang menjadi trend semasa telefon pintar dilengkapi dwi kamera, kali ini Huawei ingin membuat percubaan baru. Mereka dikatakan akan memperkenalkan sebuah telefon pintar dengan empat kamera sekaligus dinamakan Maimang 6. Nama yang sedikit janggal ini bukan sahaja menerima kamera yang banyak malah akan didatangkan bersama paparan skrin bernisbah 18:9.
Melalui khabar dari TENAA, China, peranti ini akan diperkenalkan pada 22 September depan sebelum hadirnya Huawei Mate 10. Ia juga dikatakan peranti yang pertama keluaran Huawei mengenakan skrin memanjang ke bawah. Maimang 6 mungkin dilengkapi paparan bersaiz 5.9 inci 2160 x 1080p, kamera 16 MP dan 2 MP di belakang serta kamera 13 MP dan 2 MP di depan.
Selain itu, pemproses Quad-core dan RAM 4GB akan dimuatkan bersama selain storan seluas 64GB yang menyokong memori tambahan. Bekalan kuasa pula menerima bateri berkapasiti 3,240mAh.

Untuk pengetahuan anda, di luar pasaran China ia dijenamakan semula sebagai siri G. Memandangkan sebelum ini Maimang 5 ditukar kepada Huawei G9 Plus, Maimang 6 pula akan dipanggil sebagai Huawei G10 sekiranya peranti ini dijual di Malaysia kelak.

