Apple Terima Waran Geledah Untuk Akses iPhone SE Milik Suspek Kes Tembakan Di Texas

Baru-baru ini Apple telah menerima waran geledah rasmi, selepas pihak berkuasa Texas Rangers dan FBI didapati gagal untuk menyahkunci Touch ID pada iPhone SE yang didakwa milik suspek utama kes tembakan yang berlaku di Sutherland Spring di Texas. Waran geledah ini dikeluarkan selepas pihak berkuasa gagal untuk mengakses iPhone yang ditemui pada Devin Patrick Kelley, yang dipercayai telah membunuh diri selepas melakukan tembakan rambang tersebut.

Waran ini telah dikeluarkan bagi mencari bahan bukti seperti gambar, mesej, dokumen dan juga pelbagai data lain dalam usaha untuk menyelesaikan kes yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang mangsa. Menurut Apple, pihaknya hanya dihubungi oleh pihak berkuasa lebih kurang 48 jam selepas insiden tersebut berlaku dan tiada sebarang usaha telah dibuat untuk meminta mereka menyahkunci Touch ID peranti tersebut sebelum itu. Sebaliknya peranti itu telah dihantar ke makmal jenayah di Quantico, Virginia.

Selain daripada iPhone SE, pihak berkuasa turut menemui telefon bimbit kedua milik suspek, iaitu model LG 328BG. Situasi sebegini merupakan kali kedua berlaku antara pihak berkuasa dengan Apple, selepas insiden yang sama berlaku di San Bernardino pada awal tahun lepas. Namun di dalam kejadian itu, pihak berkuasa telah meminta kerjasama dari Apple untuk menyahkunci iPhone 5C, tetapi telah ditolak oleh Apple kerana ia mampu mengkompromi keselamatan peranti iPhone yang lain.

You might also like