
HARGA: RM 899
Wiko terkenal dengan mengeluarkan peranti berprestasi tinggi pada harga mampu milik, terkini syarikat dari Perancis ini turut melebarkan sayap mengikut trend semasa dengan memperkenalkan Wiko View yang hadir bersama paparan skrin hampir penuh dengan nisbah 18:9 bersaiz 5.7 inci beresolusi HD. Paparan skrin 2.5D yang selesa dipegang ditambah pula kerangka badan ergonomik ini pastinya mampu menarik pelbagai golongan untuk memilikinya. Apa lagi keistimewaannya?! Semak…
PAKEJ PEMBELIAN
- Kotak pembungkusan
- Wiko View & Sarung pelindung jernih
- Adapter pengecas
- Kabel microUSB
- Skrin pelindung
- Earphone
- Buku panduan
PERBEZAAN SPESIFIKASI
REKA BENTUK
Paparan Skrin Hampir Penuh
Sepertimana model vivo V7+ dan Huawei nova 2i, telefon pintar ini menampilkan paparan FullView Display dengan menawarkan nisbah skrin-ke-kerangka sebanyak 75.95%. Walaupun Wiko View tidak menyokong kerangka berasaskan logam, tetapi peranti ini masih terasa ringan. Malah paparan skrin yang besar juga memberikan kepuasan ketika menonton video, bermain permainan mudah alih serta melayari Internet.
Sisi Smartphone
Sisi kiri telefon pintar ini kelihatan kosong tanpa sebarang butang mahupun slot kad SIM, manakala sisi kanan pula seperti biasa menempatkan dua butang yang dikenali sebagai butang kuasa serta butang laras volume.
Port Audio & microUSB
Bahagian atas kelihatan agak kosong di mana hanya terdapat port 3.5mm audio jack sahaja, manakala bahagian bawahnya pula tersedia sebuah port microUSB 2.0 untuk tujuan mengecas serta sebuah lubang mikrofon.
Slot Kad SIM & Bateri
Tidak banyak telefon pintar yang diperkenalkan hari ini menawarkan panel belakang yang boleh dibuka. Tetapi dengan Wiko View, anda boleh mengumpil bahagian belakang untuk meletakkan bateri berkapasiti 2900mAh. Ruangan ini juga menyediakan dua slot kad SIM jenis Nano serta kad tambahan microSD. Lebih menarik, kesemua slot yang ada menyokong fungsi hot-swap.
Panel Belakang
Dibekalkan dengan kamera utama beresolusi 13 Megapiksel bersama sokongan LED flash, panel belakang juga menempatkan sensor untuk pengimbas cap jari dan juga sebuah mikrofon yang terletak di bahagian atas lensa kamera. Bukan itu sahaja, sebuah speaker juga terletak di bahagian ini.
FUNGSI ISTIMEWANYA PADA WIKO VIEW?!
Paparan Antaramuka Baru
Berbeza dengan model keluaran Wiko sebelum ini, Wiko View menawarkan paparan antaramuka yang baru dan lebih mesra pengguna berbanding sebelumnya. Sekali pandang, paparan antaramuka yang ditawarkan oleh Wiko mirip seperti Android asal yang nampaknya semakin menjadi trend pada telefon pintar Android.
Penggambaran


Salah satu kelebihan yang dimiliki oleh peranti ini adalah lensa penggambarannya. Dibekalkan dengan lensa utama 13 Megapiksel, Wiko View juga menawarkan pelbagai mod menarik di antaranya Super Pixel, Potrait, Beauty, Professional, Panorama dan juga Night.

Manakala kamera hadapan beresosi 16 Megapiksel dengan mod Potrait juga dilihat satu keistimewaan pada telefon pintar ini memandangkan ianya menawarkan harga yang mampu milik.
Contoh Hasil Gambar Swafoto



Rakaman video HD + OIS
Jika sebelum ini fungsi Optical Image Stabilization atau lebih dikenali dengan nama OIS hanya terdapat pada peranti kelas atasan sahaja, kini tidak lagi. Apa yang menariknya Wiko View ini, anda boleh membuat rakaman video HD penuh (1080p) di kawasan bergegar tanpa masalah dengan adanya teknologi OIS.
Pengimbas cap jari
Pengimbas cap jari menjadi salah satu fungsi penting yang perlu ada pada telefon pintar hari ini. Sudah banyak telefon pintar kelas pertengahan yang menyokong pengimbas cap jari, begitu juga dengan Wiko View. Bagi yang mementingkan aspek keselamatan, Wiko View satu pilihan terbaik buat anda. Selain menyediakan akses pengimbas cap jari lebih pantas, ia juga menyokong lima cap jari dengan menu berbeza.
Smart Left Page
Kini anda boleh mengakses kenalan dan aplikasi lebih pantas dengan adanya aplikasi My Smart Left Page. Ianya sangat membantu, yang mana memudahkan sehingga 80% penggunaan seharian dengan hanya swipe paparan antaramuka ke kiri skrin sahaja. Bukan itu sahaja, My Smart Left Page turut menawarkan berita terkini dari News Republic dengan sokongan kemas kini pantas.
Pemain Video

Apa yang kami suka mengenai pemain video peranti ini adalah kebolehan menonton/memainkan video dalam paparan penuh dengan hanya menekan ikon yang tersedia.

Sokongan pop-up video juga disediakan untuk memudahkan anda membuat kerja lain sambil menonton video. Malah video tersebut juga boleh terus disunting tanpa perlu menggunakan aplikasi ketiga.

HASIL GAMBAR




KOMEN EDITOR
PRO
- Dioperasikan oleh Android 7.1.2 Nougat serta sokong pemproses berkuasa.
- Peranti dengan paparan skrin hampir penuh pada harga mampu milik.
- Sensor pengimbas cap jari disediakan bagi yang mementingkan keselamatan data di dalam peranti.
- Menawarkan lensa utama 13 Megapixel dan kamera hadapan 16 Megapiksel dengan sokongan mod Potret serta LED flash.
- Sokong kapasiti RAM 3GB hanya pada tawaran harga yang mampu milik.
KONTRA
- Masih menyediakan port microUSB 2.0 untuk fungsi pengecasan.
- Paparan skrin hampir penuh tidak disokong oleh aplikasi YouTube.













