Samsung Memfailkan Paten Untuk Model Boleh Lipat Galaxy X

Setelah sekian lama ketirisan maklumat mengenai model boleh lipat Galaxy X yang dioperasikan oleh Android keluaran Samsung tersebar di Internet, akhirnya ia mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Ia dapat disahkan kerana Samsung dilihat telah mula memfailkan paten model tersebut dengan World Intellectual Property Organization (WIPO) baru-baru ini, dan ia dijangka akan mula berada di pasaran pada tahun 2018 nanti.

Melalui paten tersebut, Samsung Galaxy X dilihat menyokong dua paparan skrin yang besar yang telah disambungkan oleh bingkai logam pada bahagian tengahnya. Apabila tidak digunakan, kedua-dua panel ini boleh ditutup seperti buku bagi melindungi paparan skrin, malah bingkai logam ini juga boleh dibengkokkan pada arah berbeza tanpa mengganggu isyarat rangkaian kerana peranti ini dilengkapi dengan tiga antena terbina-dalam.

Samsung Galaxy X yang berkemungkinan membawakan nombor model SM-G888N0 ini akan mula didedahkan kepada umum pada pameran CES di Las Vegas yang akan berlangsung pada Januari 2018 nanti. Sungguhpun begitu, Galaxy X ini dipercayai merupakan edisi terhad dengan jangkaan hanya 100,000 unit sahaja akan dihasilkan.

Sumber: PhoneArena, LetsGoDigital

You might also like