
Reka Bentuk LG V30 Didedahkan Oleh Pembuat Sarung Peranti

Syarikat sarung peranti sudah menerima rekaan rasmi daripada syarikat pengeluar telefon pintar kebiasaannya lebih awal beberapa bulan. Sebaliknya, pembuat sarung pelindung ini pula sering mendedahkan rekaan smartphone yang belum dilancarkan kepada tontonan umum. Jika sebelum ini rekaan Samsung Galaxy Note 8 tertiris, kini tiba pula giliran LG V30 didedahkan.

Kali ini jenama pihak ketiga, Ringke berkongsi gambar yang diambil dari AutoCAD (perisian bantuan komputer) menunjukkan tiga buah sarung pelindung dengan pelbagai warna yang dikenalpasti model LG V30.

Sarung jenis jernih ini melihatkan kamera berkembar hadir dengan fungsi flash LED bersama pengimbas cap jari di bawahnya. Sumber lain pula menyatakan LG V30 akan hadir dengan sistem pengecasan tanpa wayar, paparan OLED, dan Bluetooth 5.0. Bagaimanapun, peranti ini akan dilancarkan sekitar bulan Ogos kelak di Eropah dijangka sebelum pelancaran Samsung Galaxy Note 8.

