
3D Touch
iPhone 6S dan 6S Plus merupakan peranti yang berprestasi tinggi dan dilengkapi teknologi terbaru, salah satu teknologi yang menjadi perhatian adalah 3D Touch. Ia berfungsi dengan mengesan tekanan yang diletakkan pada skrin dan memberikan pengguna akses kepada beberapa fungsi aplikasi tertentu. Walaupun model 6S dan 6S Plus sudah lama dilancarkan, namun masih ramai yang tidak menggunakan sepenuhnya kemampuan dan fungsi 3D Touch. Kali ini editor ingin kongsikan beberapa tip berguna 3D Touch yang bakal mengubah cara anda menggunakan iPhone 6S da 6S Plus.
TrackpadMenggerakkan kursor dan memilih teks kadangkala menjadi tugasan yang rumit pada smartphone, ini kerana ia memerlukan ketepatan ketika mengendalikannya, lantas menjadikan ianya sukar pada peranti yang mempunyai saiz paparan yang kecil. Contohnya hanya dengan pergerakan yang minimal , kursor boleh beralih kedudukan, namun dengan teknologi 3D Touch, tugasan tersebut menjadi jauh lebih mudah dan anda bakal merasakan bahawa suntingan teks menjadi lebih pantas apabila menggunakan teknik ini.
Untuk mengaktifkan trackpad, anda perlu menyentuh keyboard pada skrin dan letakkan tekanan sehingga paparan keyboard menjadi warna putih dan abjad tidak lagi kelihatan. Ketika masih lagi mengaplikasikan tekanan gerakkan jari anda untuk mengawal kursor. Sekiranya anda ingin memilih teks (highlight) , letakkan tekanan yang lebih kuat ketika di dalam mod trackpad.
Kebiasaannya pemilik iPhone akan menggunakan butang Home untuk mengakses fungsi App Switcher yang membolehkan pengguna menukar atau menutup aplikasi, namun butang Home merupakan salah satu komponen terpenting di dalam peranti iPhone kerana pada bahagian itulah pengesan cap jari dibina. Jadi bagi mengelakkan komponen tersebut rosak akibat penggunaan yang intensif, ramai pengguna mengaktifkan fungsi Assistive Touch.
Namun bagi pendapat editor, fungsi Assistive Touch kadang kala menjengkelkan kerana ia menghalang sebahagian skrin dan kita perlu kerap kali mengalihkan butang virtual tersebut terutamanya ketika bermain permainan video. Bagi mereka yang memiliki iPhone 6S dan 6S Plus, anda boleh mengakses fungsi App Switcher dengan mudah sekali. Cuma letakkan tekanan pada pinggir skrin sebelah kiri sehingga anda melihat paparan anda berubah kepada menu App Switcher.
Sekiranya anda melihat atau menerima pautan laman web pada aplikasi yang menyokong 3D Touch, anda boleh preview dahulu laman web tersebut untuk melihat kandungannya tanpa perlu meninggalkan aplikasi yang sedang digunakan. Sekiranya anda mahu membuka laman tersebut sepenuhnya, anda cuma perlu menambah tekanan pada sentuhan.
Fungsi 3D Touch bukan sahaja berfungsi pada pautan laman web, malah sekiranya anda menerima nombor telefon melalui teks,email atau aplikasi yang menyokong teknologi 3D Touch, anda boleh mengakses pelbagai fungsi dengan mengaplikasikan tekanan pada nombor yang diterima. Pilihan seperti panggilan, mesej dan simpan nombor boleh diakses dengan lebih cepat berbanding cara konvensional. Selain itu anda juga boleh melakukan panggilan atau menghantar mesej dengan pantas apabila menggunakan fungsi 3D Touch pada senarai contacts anda.