
HTC selaku peneraju global inovasi mudah alih dan reka bentuk, baru-baru ini telah memperkenalkan satu lagi model mampu milik terbarunya dengan pelancaran HTC Desire 628 Dual SIM. Dengan kombinasi kerangka dua warna kontras yang kelihatan menonjol, ia juga turut menyokong spesifikasi yang berkuasa.
Diperkenalkan dalam dua warna pilihan menarik iaitu Cobalt White dan Sunset Blue, HTC Desire 628 Dual SIM yang dijual pada harga RM799 ini turut menampilkan paparan skrin berukuran 5.0 inci HD 720p dengan sokongan pemproses Octa Core berkelajuan 1.3GHz. Seperti model high-end, Desire 628 Dual SIM dilengkapi teknologi BoomSound bersama dua speaker yang terletak di bahagian atas dan bawah smartphone bagi memenuhi cita rasa audiophile di luar sana.
Ruang storan dalaman yang ditawarkan juga tidak mengecewakan iaitu sebesar 32GB dengan slot memori microSD yang berupaya menyokong kapasiti maksimum mencecah sehingga 2TB. Manakala dari segi aspek penggambaran pula, ia telah disediakan dengan lensa utama beresolusi 13 Megapiksel serta lensa depan beresolusi 5 Megapiksel.
Walaupun hadir dalam kelas pertengahan, smartphone ini masih berbaloi untuk dimiliki kerana ia hadir dengan teknologi pengecasan pantas bersama bateri Li-Ion 2200mAh, sokongan RAM sebesar 3GB dan telah hadir dengan dual slot Nano SIM yang menyokong rangkaian 4G LTE.


