
Samsung Galaxy S8 Dengan Paparan 6 Inci?
Tahun hadapan bakal menjadi tahun yang penting buat Samsung, misi membaik pulih imej yang tercalar lantaran masalah yang dihadapi Galaxy Note7 harus diperbetulkan dengan mengeluarkan peranti yang benar-benar hebat. Kini, terdapat khabar angin yang menunjukkan Samsung akan melancarkan variasi Galaxy S8 dengan paparan 6 inci pada tahun hadapan.
Langkah ini mungkin akan diambil Samsung memandangkan siri Note mereka sudah berkubur walaupun masih ada lagi peminat peranti bersaiz phablet di dalam pasaran sekarang. Bagi memenuhi permintaan pengguna yang selesa dengan saiz phablet, berkemungkinan besar kita akan melihat Galaxy S8 dengan paparan bersaiz mega.
Sumber menunjukkan Samsung telah meminta pihak pengeluar komponen untuk memulakan pengeluaran skrin baru untuk peranti akan datang. Tempoh pengeluaran ini akan menjadi sesuatu yang sangat kritikal dan Samsung nampaknya benar-benar serius bagi bersedia untuk peranti tahun hadapan sehinggakan sanggup untuk menarik diri dari menyertai acara MWC 2017.