
Siapa Borong Qualcomm Snapdragon 835 Sampai Pengeluar Lain Tak Dapat Beli?!
Cip pemproses boleh diibaratkan sebagai otak kepada sesebuah peranti pintar. Oleh sebab itulah pengeluar smartphone berluma-lumba memasukkan cip pemproses terbaik yang ditawarkan di dalam pasaran untuk barisan peranti flagship mereka.
Jika anda mengikuti dengan rapat berita Qualcomm, sudah tentu tahu bahawa ianya pengeluar cip pemproses yang cukup popular dan menjadi pilihan banyak jenama. Mereka telah pun mengumumkan cip Snapdragon 835 sebagai cip berkelas flagship terbaru mereka. Tidak lama dahulu kami ada melaporkan bahawa antara model smartphone yang dijangkakan akan menggunakan cip tersebut adalah LG G6 dan juga Samsung Galaxy S8.
Nampaknya apa yang kami laporkan tidak akan menjadi kenyataan, kerana Samsung dilaporkan sudah pun memborong cip pemproses Snapdragon 835. Buat fasa awal pengeluaran cip ini, ia hanya boleh didapati pada Samsung Galaxy S8 sahaja. Pengeluar lain perlu menunggu fasa pengeluaran Snapdragon 835 yang seterusnya bagi melengkapkan cip ini di dalam peranti mereka.

