
Sistem Penyejukan Paip Tembaga Untuk LG G6
Bateri menjadi topik utama perbualan pada tahun lalu gara-gara beberapa siri kebakaran yang melibatkan smartphone yang dilancarkan pada 2016, membuatkan kita berfikir adakah kita betul-betul selamat dalam menggunakan peranti tersebut dan adakah pihak pengeluar berusaha untuk membetulkan perkara ini.
LG telah mendedahkan mereka sedang membangunkan sistem penyejukan yang akan diperkenalkan pada model LG G6. Sistem penyejukan paip haba tembaga yang akan digunakan bukanlah sesuatu yang baru, sistem tersebut digunakan secara meluas di dalam sistem komputer bagi membantu komponen kekal pada suhu yang optimum. LG dikhabarkan akan melengkapkan sistem ini di dalam smartphone mereka bagi membantu bateri menyebar dan melepaskan haba dengan lebih cepat dan efektif.
Sistem penyebaran dan pelepasan haba yang baik amat penting bagi menjamin keselamatan dan memanjangkan jangka hayat bateri dan jika sistem paip haba tembaga ini benar-benar berkesan di dalam smartphone, diharapkan ia akan diambil dan digunakan para pengeluar lain kelak.

