
Tiada perbezaan yang ketara di antara Moto Z dengan flagship lain di pasaran dari segi fungsi dan kebolehan sekiranya digunakan sebagai peranti kendiri. Namun pada awal artikel, saya ada menyebut “pengalaman unik”, dan pada konsep dan komponen modular inilah segala-galanya menjadi sangat menarik pada Moto Z. Ayuh lihat satu persatu komponen modular Moto Z.
Sambungan Pintar Moto Mods

Tidak kira apa jua aksesori Moto Mods yang anda sambungkan, Moto Z dan Moto Z Play mampu mengenalinya secara automatik tanpa perlu membuat sebarang tetapan manual. Proses sambungan pintar ini sebenarnya telah dibantu oleh aplikasi khas yang dikenali sebagai ‘Moto Mods Manager’. Lebih menariknya, anda juga boleh memantau info asas seperti nama aksesori Moto Mods dan juga status bateri yang disambungkan.
Moto Mods: Moto Insta-Share Projector
Kita mulakan dengan komponen yang paling menarik (pada pendapat kami). Salah satu sebab kami katakan komponen modular Insta-Share Projector ini sangat menarik adalah pelaksanaan fungsi yang sempurna. Visual yang terpancar melalui projektor kompak ini sungguh memuaskan, malahan proses pengendaliannya juga amat senang dan mudah. Satu aspek yang saya perasan semasa menggunakan Insta-Share Projector adalah ia secara automatik membetulkan perspektif gambar dengan baik, jadi anda tidak akan menghadapi masalah paparan senget.
Spesifikasi
- Dimensi: 153 x 74 x 10mm
- Berat: 104g
- Teknologi projektor: DLP
- Keterangan: 50 lumens
- Nisbah kontras: 400:1
- Nisbah aspek: 16:9
- Saiz imej: sehingga 70 inci
- Jangka hayat lampu: 10,000 jam
- Pembetulan pepasak (keystone): -40° hingga 40°
- Pilihan tetapan: Kecondongan imej, Keterangan
- Butang kawalan: Kuasa/Tetapan, Fokus manual
- Bateri terbina-dalam: 1100mAh
- Ketahanan bateri: sehingga 60 minit masa tayangan
- Port mengecas: USB Type-C
- Input mengecas: 5V0.75A
Lubang khas bagi mengatasi isu kepanasan

Terdapat dua lubang khas yang disediakan untuk menempatkan kipas bagi menyedut udara sejuk dari luar dan juga sebuah lubang lagi disediakan untuk mengeluarkan udara panas dari dalam projektor.

Butang kawalan
Projektor ini tersedia dengan dua butang kawalan fizikal iaitu butang kuasa yang juga berfungsi sebagai butang menu, dan juga butang melaras tahap kejelasan imej.
Kickstand untuk menyelaraskan lontaran imej
Sokongan kickstand terbina-dalam yang disokong memudahkan anda untuk menyelaraskan lontaran imej yang dihasilkan oleh projektor.
Lampu LED status bateri
Sokongan bateri terbina-dalam sebesar 1100 mAh ini boleh dipantau dengan mudah dengan menekan simbol bulat berwarna kelabu yang terletak di bahagian atas pin magnetik.
Menu tetapan projektor
Apabila projektor telah diaktifkan, anda boleh menekan butang kuasa pada projektor tersebut untuk mengakses menu tetapan projektor. Terdapat tiga menu disokong iaitu Keystone untuk melaras kecondongan imej, Adaptive brightness untuk melaras tahap keterangan imej, dan juga privasi penerimaan notifikasi.
Hasil imej paparan
Contoh imej projektor yang telah dipaparkan pada permukaan dinding dengan kelebaran hampir 2.5 meter ini kelihatan masih jelas dengan warna yang sangat baik. Semakin kecil saiz paparan bermakna semakin terang dan jelas imej yang dihasilkan. Anda juga disarankan untuk menggunakannya di dalam persekitaran yang gelap dan dilontarkan pada permukaan berwarna putih (tidak berkilat) serta rata.
Moto Mods: JBL SoundBoost
Modular ini juga menjadi kegemaran kami kerana kualiti audio yang dihasilkan sangat-sangat baik. Bunyi berfrekuensi rendah seperti bass jelas kedengaran, manakala bunyi berfrekuensi tinggi tidak terlalu nyaring sehingga menjengkelkan. Audio yang dihasilkan JBL SoundBoost amat lantang namun masih selesa didengar.
Lebih menariknya, speaker ini tidak akan menggunakan kuasa bateri smartphone anda kerana ia telah dilengkapi dengan sokongan bateri 1000mAh terbina-dalam yang mampu digunakan sehingga 10 jam. Malah anda juga boleh menjawab panggilan dengan jelas dan lantang menggunakan speaker stereo ini. Tidak cukup dengan itu, penyediaan kickstand juga memastikan pengalaman mendengar muzik atau menonton video terasa lebih mudah dan menyeronokkan.
Kickstand terbina-dalam
Penyediaan kickstand yang terletak antara kedua-dua speaker 3W ini boleh digunakan dengan mudah. Anda hanya perlu menarik keluar kickstand tersebut pada bahagian hujung yang tertera perkataan JBL dan kini smartphone dengan sambungan speaker boleh diletakkan dengan lebih baik.
Moto Mods: Hasselblad True Zoom
Konsep kamera modular amat menarik, namun pada pendapat kami pelaksanaannya sedikit tersasar. Tambahan fungsi yang ketara pada Hasselblad True Zoom adalah kebolehan zoom optikal berbanding kamera sedia ada Moto Z. Tiada penambahan yang ketara dari segi kualiti gambar, resolusi, mod dan lain-lain, jika dihadirkan sekali akan menjadikan modular ini hits di kalangan pengguna.
Sokongan 10x Zum Optikal

Keupayaan menggunakan fungsi zum pada Hasselblad True Zoom




Kelebihan optikal zoom jelas dilihat di sini, objek jauh nampak jelas dan butiran imej dipelihara dengan baik.
Perbezaan kualiti gambar zum optikal dan zum digital
10x Zum Optikal (Hasselblad True Zoom)
8x Zum Digital (Moto Z)
Perbezaan hasil gambar Xenon Flash dan Dual LED Flash
Indoor


Makro


Spesifikasi
| Resolusi Sensor | 12 Megapiksel |
| Saiz Sensor / Piksel |
1/ 2.3 inci / 1.55 μm |
| Aperture | f/3.5 – f/6.5 |
| Zoom | 10x Optikal / 4x Digital |
| Jarak fokus | 5cm hingga 1.5m |
| Panjang fokus | 4.5 – 45mm (25 – 250mm 35mm) |
| Flash | Xenon flash |
| Penstabilan imej | OIS (gambar) & EIS (video) |
Moto Mods: Incipio offGRID Power Pack
Seperti apa yang dikatakan tadi bahawa bateri Moto Z tidak bertahan lama kerana kapasitinya yang agak rendah, namun masalah tersebut dapat diselesaikan dengan mudah. Anda cuma perlu pasangkan Incipio offGRID Power Pack dan dengan serta merta anda akan mendapatkan 2200mAh kuasa tambahan untuk peranti anda. Saiz dan berat komponen modular ini juga berada di zon selesa penggunaan, dan sepanjang menggunakannya tidak mendapati masalah overheating.
Pilihan mod bateri
Terdapat dua pilihan mod untuk anda mengecas Moto Z atau Moto Z Play iaitu ‘Default’ yang akan sentiasa memastikan bateri smartphone dicas penuh 100%. Manakala mod ‘Efficiency’ pula akan sentiasa memastikan bateri smartphone berada pada tahap minimum 80%.
Notifikasi status bateri pada smartphone
Sebaik sahaja Incipio offGRID Power Pack disambungkan pada smartphone, proses mengecas akan dijalankan secara automatik dengan terteranya simbol + dan baki bateri power bank boleh dipantau pada ruangan notifikasi.
Memeriksa status bateri pada Power Bank
Mungkin power bank ini tidak dilengkapi dengan paparan digital sebagaimana power bank konvensional, tetapi anda sebenarnya masih boleh memantau status bateri melalui penyediaan lampu LED yang terletak di bahagian atas pin magnetik. Anda hanya perlu menekan simbol bulatan untuk mengaktifkan status LED bateri yang mana nyalaan hijau bermaksud bateri masih banyak dan merah bermaksud bateri perlu dicas.
EKSTRA!

Selain daripada jenama Incipio, sebenarnya terdapat beberapa lagi jenama power bank yang telah direka khas untuk kesesuian Moto Mods yang boleh anda miliki. Antara jenama yang turut menghasilkan Power Bank eksklusif untuk Moto Mods adalah Kate Spade New York, TUMI dan juga mophie.
Spesifikasi
| Dimensi / Berat |
152.7 x 73.5 x 6.2 mm / 79g |
| Kapasiti / Ketahanan bateri |
2200mAh / sehingga 20 jam |
| Kadar cas ke peranti | 4W hingga 6W |
| Kadar cas dari peranti | 2.2A (11W) |
Moto Mods: Moto Style Shell
Komponen modular ini hanya berfungsi sebagai aksesori hiasan sahaja, terdapat pelbagai pilihan yang anda boleh dapatkan seperti kemasan kulit, kayu, fabrik dan lain-lain. Kami sarankan anda menggunakan Style Shell ini sekiranya anda mahu mengelakkan peranti dan kamera Moto Z dari tercalar.
RUMUSAN
Berbeza dengan konsep modular yang diperkenalkan pada LG G5, kemunculan Moto Mods yang direka eksklusif untuk Moto Z dan Moto Z Play jelas dapat dilihat tampil dengan rekaan yang jauh lebih pintar dan unik. Ini bermakna anda tidak lagi menanggalkan bahagian kerangka tertentu untuk membolehkan modular atau aksesori tambahan disambungkan pada peranti. Sokongan pin magnetik pada Moto Z dan juga pada aksesori Moto Mods menjanjikan proses sambungan yang lebih mudah, bahkan ia juga pintar kerana setiap aksesori boleh diketahui secara automatik.
Apa yang pasti, Moto Mods yang menawarkan pelbagai aksesori tambahan untuk siri Moto Z berjaya menjadi daya tarikan kepada pengguna untuk memilih untuk memiliki peranti ini. Walau bagaimanapun, setiap peranti sudah tentunya memiliki kekurangan dan ini jelas dapat dilihat dengan harga jualan aksesori yang ditawarkan oleh Moto Mods yang boleh dianggap agak mahal dan perlu dibeli secara berasingan.










