
Samsung boleh dikatakan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menghasilkan peranti dengan penawaran ciri yang terbaik. Seperti kita ketahui, Samsung telah melancarkan tiga model di bawah siri Samsung Galaxy S10. Salah satunya adalah Samsung Galaxy S10+.

Jika diteliti, Galaxy S10+ telah dibawa ke tahap lebih tinggi apabila tampil dengan reka bentuk lebih segar dan menerima penambahbaikan daripada pelbagai sudut. Berikut adalah sekilas pandang kami untuk Galaxy S10+ (Unit diterima : Prism White) :
PANEL HADAPAN :
Panel hadapan peranti ini dilengkapi skrin bersaiz 6.4 inci Dynamic AMOLED dengan resolusi QHD+. Tiada sebarang takuk mahupun bilah, sebaliknya ia membawakan satu rekaan unik iaitu penggunaan skrin Infinity-O bersama lubang agak besar bagi menempatkan dua kamera hadapan dengan resolusi 10MP + 8MP.

Kami dapati bahagian dagu dan dahi pada Galaxy S10+ terlihat lebih nipis. Sebagai bonus tambahan, peranti ini hadir dengan sistem imbasan cap jari ultrasonik yang tertanam pada skrin. Kami difahamkan, teknologi baru ini mampu berfungsi lebih pantas berbanding yang lain dan boleh membaca alur jari meskipun ketika basah mahupun kotor.

PANEL BELAKANG :
Panel belakang Galaxy S10+ dibina dengan binaan berasaskan kaca dan terlihat indah dengan hiasan warna cerun yang menonjol. Kami amat mengesyorkan agar anda menggunakan casing kerana panel belakang ini didapati agak licin sekaligus terlihat mudah memerangkap kotoran.

Seterusnya, terdapat tiga kamera utama yang disusun secara melintang pada sudut tengah peranti dan LED Flash pula ditempatkan selari dengan lensa. Tiga kamera ini menggunakan kombinasi sensor 12MP + 12MP + 16MP.
BAHAGIAN SISI KANAN & KIRI :
Untuk rekaan bahagian sisi, Galaxy S10+ menggunakan binaan berasaskan logam bersama rekaan melengkung yang cukup mengiurkan. Samsung meletakkan ketersediaan butang kuasa pada sisi kanan. Sementara itu, pada sisi kiri pula terbinanya butang laras suara dan butang fizikal untuk bixby.


BAHAGIAN ATAS & BAWAH :
Terdapat dulang SIM pada bahagian atas yang mana menyokong Nano Sim + Nano Sim/MicroSD. Seterusnya, samsung turut menyertakan ‘lubang’ kegemaran semua iaitu bicu audio 3.5mm yang ditempatkan pada bahagian bawah bersama port pengecasan melalui USB-C dan pembesar suara.


Secara zahirnya, Galaxy S10+ membawakan rekaan premium disamping “sesuatu” yang menarik untuk diteroka lebih mendalam. Sekian sahaja pandangan pertama kami untuk peranti ini. Nantikan ulasan penuh daripada kami dalam masa terdekat ini! Adios~
___________________________________________________________________
Artikel Berkaitan:
- Percuma Samsung Galaxy S10e Hanya Dengan Pelan Celcom Mobile Platinum Plus! Tempahan Bermula Sekarang!
- Perbandingan Spesifikasi Penuh Siri Samsung Galaxy S10
- Samsung Galaxy S10 5G Diperkenal – Sokongan 4 Kamera Utama + Bateri 4,500mAh
- Siri Samsung Galaxy S10 Dilancarkan Bersama Rekaan Serba Baharu, Teknologi Lebih Terkini
- Senarai Harga Jualan Siri Samsung Galaxy S10 Untuk Pasaran Tempatan – Pra-Tempahan Bermula 22 Februari 2019

