
Digi nampaknya telah memperkenalkan fungsi terbaru pada pelan pascabayar sedia ada dengan pengumuman Digi Postpaid Internet Sharing + Unlimited Calls untuk pelanggan sedia ada dan juga baru. Dengan hanya penambahan sebanyak RM10 pada bil talian utama, anda berupaya menikmati perkhidmatan perkongsian Internet dengan enam talian sampingan yang lain.
Pengaktifan ini juga turut membolehkan pengguna untuk menikmati panggilan tanpa had dan juga SMS percuma ke semua enam talian sampingan yang ada. Sebagai pemegang akaun utama, anda boleh menggunakan aplikasi MyDigi untuk menentukan kuota Internet yang akan diterima oleh setiap akaun talian sampingan. Sekiranya kuota Internet yang ada tidak mencukupi, anda boleh mengisi semula kuota Internet tersebut pada bila-bila masa melalui tiga pilihan yang disediakan iaitu 500MB untuk RM5, 7GB untuk RM35 atau 12GB untuk RM50.
Sebagai contoh, anda boleh memilih pelan pascabayar Digi yang paling rendah iaitu RM28 sebulan (500MB kuota Internet) dan anda perlu membayar RM10 untuk pengaktifan Perkongsian Internet dan RM10 lagi untuk Panggilan Tanpa Had, sekaligus menjadikan bil bulanan anda sebanyak RM48.
Bagi membolehkan kuota Internet dikongsikan ke enam talian sampingan yang lain, anda boleh melanggan kuota Internet tambahan sebanyak 7GB pada harga RM35. Untuk enam talian sampingan, anda hanya perlu membayar RM10 untuk gajet dengan sokongan kad SIM (untuk Internet sahaja) dan RM38 untuk SIM keluarga (untuk Panggilan Tanpa Had).
Maklumat lanjut, layari laman rasmi https://new.digi.com.my/postpaid/family-plans