
Kanak-Kanak 10 Tahun Menerima USD 10,000 Dari Facebook Setelah Menggodam Instagram
Seorang penggodam muda dari Finland telah menerima hadiah berjumlah USD 10,000 (RM39,987.5) dari Facebook setelah beliau berjaya membongkarkan kelemahan sekuriti di dalam sistem Instagram.
Penggodam itu baru sahaja berumur 10 tahun dan hanya mahu dikenali dengan nama Jani kerana ibu bapa beliau enggan mendedahkan secara terperinci butiran beliau atas dasar keselamatan. Jani menerima wang tersebut melalui program Facebook’s Bug Bounty yang menawarkan hadiah kepada mana-mana individu yang berjaya mendedahkan kelemahan aplikasi dan sistem yang terdapat pada mana-mana platform dimiliki Facebook.
Jani memberitahu Facebook bahawa beliau menemui cara untuk memadamkan mana-mana komen yang ditinggalkan pengguna lain tanpa mencipta akaun. Tidak lama selepas itu Facebook menghubungi Jani dan mencipta satu akaun eksperimen dan menyuruhnya memadam komen yang terdapat di dalam akaun tersebut, dan siapa yang sangka kanak-kanak 10 tahun berjaya melepasi sistem sekuriti yang kompleks dan memadam komen.
Oleh kerana penemuan beliau, Facebook telah memberikan hadiah bernilai USD 10,000 kerana kelemahan yang dibongkarkannya sangat besar dan boleh memberi impak kepada pengguna lain.