Rasmi! OPPO F7 Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM1,399

OPPO hari ini secara rasminya melancarkan sebuah telefon pintar baharu iaitu OPPO F7 di Malaysia bagi menambah barisan peranti kelas pertengahan di pasaran tempatan. OPPO yang sedia diketahui menawarkan telefon berkamera swafoto baik hari ini membawa masuk peranti dengan spesifikasi tingkat taraf pada harga bermula RM1,399.

OPPO F7 dibina dengan tubuh badan berasaskan logam serta gelas berkilau bertujuan memberikan penampilan yang sedikit mewah berbanding generasi terdahulu. Peranti ini hadir dengan skrin bersaiz 6.23” IPS LCD FHD+ (1080 x 2280p) dengan perlindungan panel Corning Gorilla Glass 5 yang tahan lebih lasak bersama pilihan warna Solar Red, Moonlight Silver, dan Diamond Black.

OPPO F7 dengan warna Moonlight Silver

Perkakasan dalaman dimuatkan dengan cip pemproses MediaTek Helio P60 dengan RAM 4GB, dan storan sebesar 64GB. Perisian dalaman pula dioperasikan sistem Android 8.1 Oreo dan antaramuka ColorOS 5.0 yang dijana bateri berkapasiti 3,400mAh. Selain itu, peranti ini turut menyokong sistem nyahkunci melalui pengecaman wajah, pengimbas cap jari dan sambungan pengecasan mikro USB dengan teknologi VOOC.

Beralih kepada jabatan kamera, OPPO F7 menerima sensor utama 16 Megapiksel f/1.8 dan kamera depan 25 Megapiksel f/2.0 dengan ciri AI Beauty serta AR Sticker. OPPO menegaskan bahawa kamera swafoto pada peranti ini jauh lebih baik dan lebih pintar berbanding telefon pintar yang setaraf dengannya di pasaran.

OPPO F7 dengan warna Diamond Black

OPPO F7 juga didatangkan dengan varian lebih tinggi iaitu dengan memori RAM 6GB dan storan 128GB bersama warna edisi istimewa Diamond Black dan Sunrise Red. Harga untuk varian ini masih belum diumumkan dan akan hadir di pasaran tempatan tidak lama lagi.

OPPO F7 boleh di pra-tempah bermula dari 16 April hingga 20 April 2018. Setiap pra-tempahan turut menerima hadiah percuma bernilai RM299 di mana-mana kedai konsep OPPO atau 800 wakil jualan sah seluruh Malaysia. Di samping itu, ia juga boleh didapati di Celcom, Lazada, Shopee, 11street, Senheng, dan SenQ.

 

Unboxing! OPPO F7!

 

 

You might also like