
Fuhh, Sony Ada Kamera 960fps. Jap, Samsung Mungkin Ada Kamera 1,000fps!
Berpeluh jugak la bila baca khabar angin ni. Hari tu Sony baru sahaja tunjuk model terbaru, Xperia XZ Premium yang ada kamera menyokong rakaman gerak perlahan sehingga 960fps. Berdasarkan video demo yang dapat kita lihat di YouTube, kualiti video gerak perlahan memang cun habis.
Sekarang muncul pulak khabar angin baharu bahawa spesifikasi kamera tersebut bakal ditandingi Samsung Galaxy S8. Memang sudah dijangkakan bahawa pasti Samsung akan melengkap dan menambah baik sistem kamera mereka pada model terbaru. Namun kami tidak menjangkakan mereka akan memberikan kemampuan rakaman pada kadar 1,000fps.
Bagi sesetengah pengguna, fungsi gerak perlahan ini mungkin satu gimik dan penarik jualan sahaja. Namun bagi mereka yang bekerja di dalam industri media kreatif, peranti seperti Sony Xperia XZ Premium dan Samsung Galaxy S8 pasti menghargai fungsi rakaman gerak perlahan dengan kualiti yang terbaik kerana telefon pintar kini berevolusi menjadi salah satu peranti alternatif untuk menghasilkan gambar dan video yang lebih baik.

