
MWC 2017: Sony Mengejutkan Acara MWC 2017 Dengan Memperkenalkan Xperia XZ Premium
Syarikat seperti LG, Nokia, Huawei dan lain-lain sudah dijangka akan memberikan pengumuman besar di acara MWC 2017, dengan LG memperkenalkan LG G6 dan Nokia menghidupkan semula Nokia 3310 dan memperkenalkan beberapa model terbaru. Namun tiada siapa yang menjangka Sony akan mencuri tumpuan pada acara tersebut, bahkan tiada sebarang ura-ura yang kita dengar sebelum ini mengenai peranti yang baru sahaja diperkenalkan Sony.
Xperia XZ Premium merupakan flagship terbaru Sony yang menjadi peranti pertama dilengkapi skrin 4K HDR yang memberikan kualiti gambar yang sangat baik. Namun mengetahui Sony dan rekaan-rekaan mereka yang tidak radikal, kami tidak terkejut mendapati mereka masih mengekalkan rekaan bezel yang tebal pada bahagian atas dan bawah peranti. Bagi kami ia sedikit mencacatkan rekaan peranti dan sebaiknya Sony mengikuti tren bezel less yang semakin hangat.
Di atas kertas, spesifikasi Sony Xperia XZ Premium adalah sangat baik, dan agak mengejutkan kerana model ini dilengkapi pemproses Qualcomm Snapdragon 835 yang sebelum ini dikhabarkan akan membuat penampilan sulung di dalam Samsung Galaxy S8. Ini masih mungkin terjadi kerana kemungkinan besar peranti Samsung akan dipasarkan terlebih dahulu sebelum Xperia XZ Premium.
Di samping cip pemproses terkini, peranti ini dilengkapi teknologi kamera Motion Eye. Sebelum ini kami ada menulis berita mengenai kamera ini yang mampu merakam video gerak perlahan sehingga 960fps, ianya berkali-kali ganda lebih baik dari spesifikasi kamera smartphone lain di pasaran ketika ini. Selain itu, Sony memastikan peranti ini mempunyai rintangan yang baik terhadap air dan habuk serta diperkukuhkan dengan Corning Gorilla Glass 5 pada bahagian depan dan belakang.
Skrin 4K HDR, kamera Motion Eye dan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 835, adakah spesifikasi tersebut cukup untuk menarik semula perhatian pengguna kepada Sony yang semakin dibayangi pengeluar lain? Kita tunggu pengumuman selanjutnya dari Sony apabila mereka memberikan butiran lebih terperinci mengenai peranti ini.
https://youtu.be/wlboZNEP6bs

