
MWC 2017: Lagenda Peranti Mobil Muncul Semula
Nokia 3310 yang diangkat sebagai lagenda di dalam arena peranti mobil membuat kemunculan semula di dalam acara MWC 2017 di Barcelona. Walaupun tidak dikelaskan sebagai peranti pintar, Nokia 3310 masih menerima sambutan yang hangat dari pihak media dan juga pengguna, jelas menunjukkan betapa hebat legasi yang ditinggalkan model ini.
Nokia 3310 yang diberi nafas baru ini hadir dengan beberapa pembaharuan, antaranya paparan peranti ini telah dinaik taraf kepada saiz 2.4 inci dengan paparan warna QVGA. Nokia juga telah menaik taraf perisian, melengkapkan kamera 2MP, dan juga slot microSD.
Bukan itu sahaja, permainan Snake yang sinonim dengan Nokia 3310 juga telah diberikan pembaharuan dan nampak sangat menarik. Menurut Nokia, telefon ini mempunyai bateri yang boleh bertahan sehingga sebulan dalam keadaan standby. Namun terdapat satu perkara yang agak mengecewakan, Nokia tidak menyebut mengenai ciri “kekebalan” yang amat dikenali pada nama Nokia 3310. Pasti ramai yang mahukan model terbaru ini mempunyai ketahanan yang lebih hebat berbanding model terdahulu. Malangnya tiada apa-apa yang diperkatakan mengenai ciri ini.
Nokia 3310 diumumkan akan dijual pada harga USD 21 (kira-kira RM 226.62).

