
Apple iPhone 7 dan iPhone 7 Plus Dilancarkan
Apabila disebut sahaja tentang Apple, tidak dapat dinafikan lagi iPhone merupakan produk yang paling mendapat perhatian umum setiap kali ianya dilancarkan secara rasmi. Acara Apple Special Event pada kali ini sebagaimana yang telah diketahui ramai, dua buah model terbaru iPhone telah diperkenalkan dengan kemunculan iPhone 7 dan juga iPhone 7 Plus. Tetapi jika dibandingkan dengan iPhone 6s dan juga 6s Plus, apakah pembaharuan dan juga penambahbaikan yang dapat dilihat pada generasi terbaru keluaran Apple ini?! Jom sama-sama kita baca laporan yang disediakan oleh eRing ini…
10 Ciri-Ciri Utama iPhone 7 dan 7 Plus
#1. Rekaan diperbaiki dengan pilihan warna baru
Tidak dapat disangkal lagi tiada banyak pembaharuan yang dapat dilihat pada rekaan iPhone terbaru ini jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Namun begitu, jalur antena yang sebelum ini jelas dapat dilihat pada rekaan iPhone 6, 6 Plus, 6s dan juga 6s Plus telah diberi sentuhan baru supaya ia tidak begitu ketara kewujudannya pada iPhone 7 dan juga 7 Plus.
Lebih menariknya, Apple juga turut memperkenalkan satu warna lagi baru yang dikenali sebagai Jet Black dengan sentuhan permukaan yang sangat berkilat. Manakala warna Space Gray pula kini tampil dengan kemasan warna yang lebih gelap yang kini dikenali dengan nama Black. Berbeza dengan kemasan Jet Black, warna Black tampil dengan kemasan jenis matte.
#2. Butang Home tidak lagi menggunakan butang fizikal
Sebelum ini ramai di antara pemilik iPhone yang kurang berpuas hati kerana butang Home yang juga berfungsi sebagai Touch ID untuk mengimbas cap jari mudah rosak apabila terlalu kerap ditekan. Bahkan ramai di antara pemilik iPhone menggunakan kaedah alternatif untuk butang itu dengan bantuan fungsi Asisstive Touch. Nampaknya penggunaan butang fizikal Home itu telah digantikan dengan butang jenis sentuhan yang sensitif dengan penggunaan teknologi Taptic Engine, mirip seperti trackpad pada Macbook.
#3. Kalis air dan debu dengan sokongan IP67
Buat pertama kalinya dalam sejarah pembuatan iPhone, akhirnya Apple telah menyahut cabaran pesaingnya dengan menawarkan sokongan fungsi kalis air dan debu pada iPhone 7 dan juga 7 Plus. Pengiktirafan IP67 ini secara tidak langsung menjadikan iPhone 7 lebih tahan lasak dan boleh digunakan di dalam air pada kedalaman 1 meter selama 30 minit.
#4. Teknologi penggambaran lebih baik
iPhone 7 dan juga 7 Plus kini tampil dengan teknologi penggambaran yang lebih baik apabila kedua-duanya telah dilengkapi dengan Optical Image Stabilization (OIS), Quad-LED True Tone Flash, Aperture f/1.8 yang menjanjikan penerimaan 50% lebih cahaya untuk gambar yang lebih terang, penggunaan lensa enam elemen bagi mendapatkan hasil gambar yang lebih jelas, sensor lensa 12 Megapiksel terbaru yang dikatakan 60% lebih pantas dan 30% lebih efisien, dan juga penggunaan lensa depan yang jauh lebih baik beresolusi 7 Megapiksel. Apa yang lebih menarik, iPhone 7 Plus kini hadir dengan satu lagi lensa tambahan yang dikenali sebagai lensa Telephoto. Sokongan lensa tersebut membolehkan pengguna menikmati fungsi 2x zum optikal tanpa menjejaskan kualiti imej dan mendapatkan efek bokeh yang sangat baik.
#5. Paparan Retina HD
Paparan Retina HD pada kedua-dua model ini juga turut menerima penambahbaikan yang lebih baik dengan paparan yang 25% lebih terang, sokongan gamut warna yang lebih luas dan juga pengurusan warna yang diperbaiki. Teknologi paparan yang jauh lebih baik berbanding generasi sebelum ini membolehkan aplikasi pihak ketiga seperti Instagram untuk memperkenalkan filter baru bagi memastikan warna pada gambar yang akan dikongsikan kelihatan jauh lebih cantik.
#6. Speaker stereo
Peminat muzik terutamanya golongan audiophile sudah tentunya akan lebih tertarik dengan iPhone 7 dan 7 Plus memandangkan ia telah diperkenalkan dengan sokongan speaker stereo. Speaker utama masih dikekalkan kedudukannya di bahagian bawah kerangka, manakala speaker kedua sebenarnya menggunakan speaker yang terdapat di dalam lubang earphone. Sokongan speaker stereo ini menjanjikan 2x kelantangan audio dan dalam masa yang sama menawarkan bunyi yang lebih dinamik.
#7. Tiada lagi port 3.5mm audio jack
Sebagaimana kontroversi yang diperkatakan sebelum ini, Apple telah mengesahkan tiada lagi port 3.5mm audio jack pada kedua-dua iPhone terbaru keluarannya. Untuk itu, Apple telah memperkenalkan Earpods dengan sambungan Lightning di dalam pakej pembelian. Sokongan Earpods terbaru ini menjanjikan kualiti audio digital yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan audio analog sebelum ini. Manakala penggunaan adapter Lightning juga boleh digunakan bagi membolehkan pengguna menyambungkannya ke earphone yang memiliki sambungan jenis 3.5mm audio jack.
#8. Pengalaman berhibur secara wayarles
Ketiadaan port 3.5mm audio jack secara tidak langsung telah membuka satu lagi peluang kepada Apple untuk memperkenalkan aksesori hiburan wayarles khusus untuk iPhone 7 dan 7 Plus. Ini jelas dapat dilihat melalui kemunculan AirPods yang menggunakan cip terbaru W1 yang mampu menawarkan pengalaman berhibur yang terbaik.
#9. Apple Pay
Berdasarkan kepada laporan yang didedahkan, lebih 90% daripada pembayaran wayarles telah dibuat menggunakan Apple Pay. Memandangkan sesetengah negara menggunakan teknologi pembayaran wayarles yang berbeza, seperti di Jepun yang menggunakan teknologi yang dikenali sebagai FeliCa, maka Apple telah memperkenalkan sokongan teknologi tersebut pada iPhone 7 dan 7 Plus pada penghujung bulan Oktober nanti.
#10. Pemproses berkuasa
Prestasi iPhone 7 dan 7 Plus dikatakan antara yang terbaik di pasaran dengan sokongan pemproses berkuasa yang dikenali sebagai Apple A10 Fusion. Pemproses ini menyokong CPU empat teras (Quad Core) yang mana dua daripadanya teras tersebut adalah berprestasi tinggi yang menjanjikan 40% pemprosesan lebih pantas jika dibandingkan dengan Apple A9. Manakala dua teras lagi menjanjikan pemprosesan yang lebih efisien untuk tugasan yang lebih ringkas. Selain itu, sokongan prestasi grafik juga adalah jauh lebih baik atau 50% lebih pantas jika dibandingkan dengan A9.
Spesifikasi iPhone 7 dan iPhone 7 Plus
Harga
Ketersediaan Mengikut Negara
Pra-tempah Apple iPhone 7 dan 7 Plus akan bermula pada 9 September dan ia akan mula berada di pasaran pada 16 September nanti. Berikut adalah senarai 28 buah negara yang akan menerima iPhone 7 dan 7 Plus untuk fasa pertama:-
✔ Australia
✔ Austria
✔ Belgium
✔ China
✔ Denmark
✔ Finland
✔ Hong Kong
✔ Ireland
✔ Itali
✔ Jepun
✔ Jerman
✔ Kanada
✔ Luxembourg
✔ Mexico
✔ Netherlands
✔ New Zealand
✔ Norway
✔ Perancis
✔ Portugal
✔ Puerto Rico
✔ Sepanyol
✔ Singapura
✔ Sweden
✔ Switzerland
✔ Taiwan
✔ UAE
✔ UK
✔ US



