
“Raja Telefon Berkamera” Kini Milik Huawei P20 Pro – 109 Skor DxOMark
Huawei P20/P20 Pro baru sahaja dilancarkan secara umum dan ianya masih lagi belum dipasarkan secara global. Bagaimanapun sebelum berada di tangan para pengguna, DxOMark seperti biasa akan mengeluarkan carta “ranking” skor penggambaran untuk setiap telefon pintar.
Hari ini melalui muka depan halaman sesawang DxOMark telah memperlihatkan peranti Huawei P20 Pro menduduki carta teratas untuk penggambaran dalam kategori mudah-alih. Sebanyak 109 skor dicatatkan oleh Huawei P20 Pro selain diikuti rapat Huawei P20 dengan skor 102.
Keputusan ini sekaligus meninggalkan Samsung Galaxy S9+ (99) di tangga ketiga, Google Pixel 2 (97) di tangga keempat, dan Apple iPhone X (97) di tangga kelima. Faktor yang menjadikan kedua-dua peranti keluaran Huawei berada di kedudukan teratas ialah kelengkapan daripada segi kamera yang berteknologi tinggi serta canggih.
https://www.youtube.com/watch?v=dRd8EmY5MdU
Huawei P20 Pro menyediakan tri-kamera 20MP + 40MP + 8MP, sementara Huawei P20 hadir dengan dwi-kamera 12MP + 20MP. Kedua-duanya menggunakan teknologi dan talaan generasi ketiga daripada Leica. Dengan skor tinggi yang diperolehi, sudah semestinya Huawei P20 mampu memberikan pengalaman dan hasil penggambaran lebih baik berbanding telefon pintar yang ada di pasaran sekarang.
Jadi kepada peminat fotografi di Malaysia, tidakkah anda teringin untuk memiliki telefon pintar ini?