Huawei Mate RS Dilancarkan – Spesifikasi Lebih Baik Berbanding Huawei P20

Seiring pelancaran Huawei P20 dan P20 Pro, syarikat gergasi ini turut memperkenalkan sebuah lagi peranti edisi terhad Porsche Design iaitu Huawei Mate RS. Jika ada pembaca yang masih belum tahu, nama RS (Race Sport) sangat sinonim dengan model kereta Porsche edisi perlumbaan.

Huawei Mate RS dihasilkan daripada rekaan asal siri-Mate Porsche Design sebelum ini. Sekali imbas peranti ini tidak banyak beza daripada segi luaran, tetapi telah menerima banyak penambah baikan daripada segi dalaman. Apa yang menarik pada generasi kali ini, ia dilengkapi spesifikasi lebih kurang seperti model Huawei P20 Pro.

Huawei Mate RS didatangkan dengan skrin 18:9 bersaiz 6” AMOLED QHD (resolusi 2K) dengan pilihan warna hitam, sementara warna merah eksklusif untuk pasaran China. Buat pertama kali dalam barisan telefon pintar Huawei, ia dilengkapi pengimbas cap jari pada skrin, malah sistem biometrik yang kedua diletakkan di bahagian dagu peranti.

Pada bahagian kamera pula, Mate RS dimuatkan dengan konfigurasi kamera sama seperti Huawei P20 Pro. Gabungan tri-kamera menempatkan sensor 20MP + 40MP + 8MP (telefoto) disamping menyokong video gerak-perlahan 960fps, zoom hibrid 5-kali, dan lain-lain.

Dikuasakan dengan cip pemproses Kirin 970, ia hadir bersama kapasiti RAM 6GB dan storan seluas 256GB sehingga 512GB. Bateri yang dimasukkan ialah berkapasiti 4,000mAh, malah diberi kelebihan unit pengecasan pantas SuperCharge dan pengecasan tanpa wayar – siri Huawei P20 tidak menyokong pengecasan pantas.

Sistem audio diberikan nafas baru dengan adanya teknologi speaker stereo Dolby Atmos untuk nilai hiburan ke tahap lebih tinggi. Tubuh badan peranti ini menyokong ciri kalis air dan debu yang diiktiraf IP67.

Huawei Mate RS tidak mempunyai tanda harga setakat ini, tetapi untuk generasi terdahulu ia dijual pada harga RM6,999 seunit.

You might also like