Tim Cook Perolehi Pendapatan Sebanyak USD102 Juta Untuk Tahun 2017

Bloomberg hari ini telah melaporkan bahawa Tim Cook selaku Ketua Pegawai Eksekutif jenama Apple telah mencatatkan keseluruhan perolehan pendapatan sebanyak USD102 juta (kira-kira RM412 juta) sepanjang tahun 2017 ini. Jumlah pendapatan yang diperolehinya itu telah merangkumi gaji tahunannya sebanyak USD3.06 juta, bonus tahunan sebanyak USD9.33 juta, dan juga pegangan saham sebanyak USD89.2 juta.

Apa yang lebih menariknya, perolehan pendapatan yang tinggi ini secara tidak langsung memerlukan Tim Cook untuk menggunakan pesawat peribadi untuk tujuan lawatan perniagaan ataupun peribadi. Keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga pengarah Apple ini adalah disebabkan oleh faktor keselamatan. Selain daripada kos perbelanjaan pesawat peribadi sebanyak USD93,109 (kira-kira RM364,417), Apple juga turut mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak USD224,216 (kira-kira RM906,452) untuk aspek keselamatan peribadi beliau.

iPhone X yang mendapat sambutan pengguna merupakan antara penyumbang kenaikan pendapatan Tim Cook.

Berdasarkan laporan itu juga, lima Pegawai Eksekutif Apple iaitu Luca Maestri, Angela Ahrendts, Johny Srouji, Dan Riccio, dan juga Bruce Sewell, turut menerima bonus tahunan USD3.11 juta (kira-kira RM12.57 juta) setiap seorang. Manakala perolehan pendapatan keseluruhan mereka dikatakan mencecah sebanyak USD24.2 juta (kira-kira RM97.83 juta), termasuk gaji tahunan dan pegangan saham.

Data berkaitan perolehan pendapatan tahunan Tim Cook ini telah diperolehi dari pernyataan proksi Suruhanjaya Sekuriti Dan Perangkaan Amerika Syarikat sebagai rujukan untuk mesyuarat pemegang saham tahunan yang akan berlangsung pada 13 Februari 2018 nanti.

You might also like