Sebelum ini eRing sudahpun berkongsi teaser yang telah dikongsikan oleh OPPO berhubung model terbarunya iaitu F1s di laman sosial Twitter dan juga Facebook mereka. Nampaknya tidak sampai seminggu teaser itu didedahkan kepada umum, OPPO nampaknya telah mengesahkan kemunculan siri “Selfie Expert” generasi terbarunya itu di pasaran tempatan pada Ogos tahun ini. Bahkan media di India juga telah disahkan turut menerima jemputan ke majlis pelancaran OPPO F1s pada 3 Ogos nanti.

Walau OPPO masih lagi merahsiakan sokongan spesifikasi model F1s ini, ada sumber yang telah memberitahu bahawa ia bakal menampilkan sokongan lensa depan beresolusi 16 Megapiksel untuk memastikan kualiti selfie terbaik. OPPO F1s juga turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari yang ditempatkan pada butang ‘Home’ dengan kepantasan imbasan mencecah sehingga 0.22 saat.

Berdasarkan kepada perkongsian teaser yang dikongsikan oleh OPPO, penggunaan slogan “What makes you even more beautiful?” mungkin memberi petunjuk awal akan kemunculan mod atau filter baharu yang akan diperkenalkan pada model F1s ini.

