
Google Tampil Dengan Algoritma ‘Delta’ Bagi Mengurangkan Saiz Pemasangan Dan Juga Kemas Kini Aplikasi
Google Play telah memperlihatkan perkembangan yang sangat cepat dan ini jelas dapat dilihat melalui pemasangan lebih daripada 65 bilion aplikasi di Google Play Store pada tahun lepas. Malah pembangun aplikasi juga dilihat aktif dalam memperkenalkan kemas kini terbaru bagi memastikan kandungan yang lebih baik dan juga memperbaiki sebarang kelemahan aplikasi yang diperkenalkan.
Namun begitu, ia telah melibatkan penggunaan data Internet yang agak besar, terutamanya bagi pengguna yang tidak memiliki sambungan WiFi. Bagi mengatasi isu ini, Google telah memperkenalkan algoritma Delta dalam usaha mengurangkan saiz pemasangan dan juga saiz kemas kini aplikasi yang akan dimuat turun oleh pengguna Android. Dengan adanya algoritma terbaru ini, ia dikatakan mampu mengurangkan saiz sehingga 50% atau lebih.

Sebagai contoh, kemas kini penting Chrome yang sebelum ini bersaiz 22.8MB telah berjaya dikurangkan menjadi hanya 12.9MB sahaja. Manakala saiz kemas kini kecil yang menggunakan sebanyak 15.3MB, telah berjaya dikurangkan kepada hanya 3.6MB sahaja. Ini bermakna, proses pemasangan dan juga kemas kini aplikasi itu telah berjaya dikurangkan sehingga 76% daripada saiz asal.
Selain itu, Google Play Store juga telah mula mempraktikkan paparan saiz sebenar aplikasi yang akan dipasang atau dikemaskinikan, bagi memudahkan pengguna untuk mengetahui saiz sebenar sebelum aplikasi itu mula dimuat turun. Ternyata langkah yang diambil ini adalah sangat dialu-alukan kerana sebelum ini pengguna sering tertanya-tanya berapakah saiz sebenar aplikasi yang akan dipasang pada peranti mereka.

