
Beberapa Unit Galaxy Note8 Tidak Dapat Dihidupkan Setelah Bateri Turun Kepada 0%
Segelintir pengguna Samsung Galaxy Note8 dilaporkan tidak dapat menghidupkan peranti mereka setelah bateri turun kepada kosong peratus. Ada juga yang tidak dapat mengecas peranti mereka semula disebabkan oleh isu yang belum dikenal pasti.

Pengguna yang terlibat juga dikatakan telah mencuba untuk tukar kabel pengecas dengan kabel yang lain tetapi isu yang sama tetap berlaku. Samsung yang menjadi pengeluar nombor satu dunia kini sangat sensitif apabila isu bateri melanda penggunanya. Oleh itu, Samsung telah menawarkan pengguna yang terkesan dengan perkhidmatan tukar-ganti secara berperingkat.
Di dalam forum Samsung AS, seorang pentakbir yang dikenali sebagai SamsungMel telah tampil memberi kenyataan, menasihatkan pengguna yang terlibat supaya hadir ke pusat servis bagi melakukan sesi tukar-ganti. Tambahnya, pihak Samsung juga ingin mengenal pasti isu bateri tidak boleh dihidupkan pada Galaxy Note8 secepat mungkin.
Untuk makluman anda, unit Samsung Galaxy Note8 untuk pasaran AS adalah berbeza dengan unit yang dijual di pasaran Malaysia. Ia boleh dibezakan dengan cip pemproses yang digunakan. Unit AS hadir dengan cip Snapdragon manakala unit Malaysia menggunakan cip Exynos.
Nampaknya, Samsung sangat trauma dengan isu bateri seperti yang pernah dilalui pada Galaxy Note 7 setahun yang lalu.

