Akhirnya! Samsung Mendedahkan Hasil Siasatan Rasmi Galaxy Note7
Tahun lalu, dunia teknologi pintar panas dengan kes Galaxy Note7 yang cenderung untuk terbakar, hasilnya model tersebut dihentikan penjualannya dan peranti yang sudah dibeli pengguna ditarik balik atas sebab keselamatan. Samsung kemudiannya berjanji untuk menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya dan dan mendedahkannya apabila siasatan selesai. Kini, masa yang ditunggu telah tiba, Samsung sudah membentangkan hasil siasatan mereka, jadi apa sebenarnya yang menjadi masalah Galaxy Note7? Mari kita lihat.
Samsung melaporkan bahawa terdapat dua masalah berasingan pada bateri yang menjadikan masalah Galaxy Note7 menjadi tidak terkawal. Kesilapan pertama adalah pada rekaan unit asal bateri pada Galaxy Note7. Reka bentuk perumah bateri menyebabkan elektrod positif dan negatif pada model ini cenderung untuk bersentuhan, lantas menyebabkan lintar pintas dan kebakaran.
Dalam usaha untuk mengawal dan memberikan peranti yang selamat kepada pengguna, Samsung telah menarik balik model ini bagi menukar baterinya. Namun, tidak lama selepas proses penarikan dan baik pulih dijalankan, masih ada lagi kes kebakaran melibatkan peranti yang telah pun menerima unit bateri yang baru. Beberapa siri kes kebakaran yang baru menyebabkan Samsung terpaksa melihat semula komponen ini dan akhirnya Samsung mengambil langkah drastik untuk membekukan dan menarik balik kesemua peranti Galaxy Note7, lantas menghentikan secara total penjualan peranti ini.
Unit bateri gantian pula mempunyai masalah yang berbeza. Samsung mendapati kimpalan bar sedikit tinggi dari sepatutnya dan menyebabkan bar ini menembusi pita penebat. Bar ini kemudiannya bersentuh secara langsung dengan elektrod negatif, menyebabkan lintar pintas.


Ketua Samsung Mobile, DJ Koh berkata beliau dan Samsung amat kesal dengan apa yang terjadi dan meminta maaf kepada pelanggan bagi kegagalan syarikat itu. Beliau kemudiannya berkata, Samsung akan menggubal beberapa perubahan kepada proses dalaman untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang. Selepas ini mereka akan menubuhkan pasukan khas untuk memeriksa komponen teras setiap peranti, dan menjalankan 8 peringkat ujian kepada komponen bateri, termasuk pemeriksaan visual sehinggalah pemeriksaan x-ray.

