

Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL) secara usaha sama telah melancarkan Perpustakaan BESTARI Samsung di PULAPOL KL. Perpustakaan BESTARI Samsung adalah inisiatif zon pembacaan penerbitan digital yang dikhaskan untuk anggota-anggota di pusat latihan itu.
Pelancaran tersebut dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara, Malaysia, diiringi YBhg. SAC Dato’ Zahari Mohd Yusoff, Komandan PULAPOL KL, dan YBhg. Dato’ Roh Jae Yeol, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd.

“Menerusi Perpustakaan BESTARI Samsung, pegawai polis boleh meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka tentang ICT, selain memupuk tabiat positif membaca menerusi kandungan digital seperti e-Buku dan alat-alat peranti elektronik Samsung yang lain bagi membantu pembelajaran mereka.” kata Ketua Polis Negara, Malaysia.
Dengan pelancaran Perpustakaan BESTARI Samsung di PULAPOL KL, lebih ramai pengguna dan pegawai polis muda memiliki akses kepada banyak sumber pembacaan digital bagi membantu latihan mandatori mereka dan maklumat luas yang akan membantu memperkayakan minda mereka. Inisiatif ini juga seiring dengan matlamat Samsung untuk meluaskan perubahan positif kepada setiap orang, membantu mereka menikmati hidup yang lebih baik dengan segala kemungkinan.

Perpustakaan BESTARI Samsung di PULAPOL KL adalah yang keenam di Malaysia dan meliputi kawasan seluas 1,885 kaki persegi, direka bentuk kepada tiga kawasan pembacaan dan Bilik BESTARI untuk pengalaman pembelajaran yang lebih baik. Terdapat lebih 40 alat peranti Samsung merangkumi tablet dan SMART TV disediakan bagi membantu latihan awal mereka. Pengguna juga mempunyai akses kepada semua e-Buku yang boleh dipinjam dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan pelbagai judul e-Buku merangkumi jurnal Malaysia dan jurnal undang-undang semasa.
“kami berharap menerusi inisiatif Perpustakaan BESTARI Samsung, anggota-anggota di PULAPOL KL akan mendapat inspirasi dan mahu terus belajar.” kata YBhg. Dato’ Roh Jae Yeol.