iPhone 7 Tiru Galaxy Note7?!
Selamat datang ke zaman smartphone pasca Galaxy Note7, di mana nampaknya pengeluar bukan sahaja mengambil dan mengadaptasi fungsi peranti dari pesaing, malah mereka juga mengambil ciri istimewa yang mula dipopularkan oleh Galaxy Note7, iaitu kebolehan untuk meletup. Okay, itu gurauan sahaja, sekarang mari lihat berita sebenar.

Seorang jurulatih luncur air di Australia melaporkan bahawa iPhone 7 beliau yang baru dibeli seminggu yang lalu telah menjadi punca kebakaran di dalam kereta beliau, lantas memusnahkan sebahagian besar ruang dalaman kereta. Mat Jones berkata beliau meninggalkan iPhone 7-nya di dalam kereta ketika sedang mengajar peluncur di pantai. Apabila sampai ke keretanya, beliau mendapati bahawa bahagian dalam keretanya terbakar dan beliau tidak syak lagi bahawa ia berpunca daripada iPhone 7.

Menurut beliau punca kesan kebakaran jelas terlihat dari poket seluar di mana beliau menyimpan perantinya dan smartphone yang baru dibeli itu musnah sama sekali dalam kejadian tersebut. Apple sudah pun menerima aduan dan menjalankan siasatan, namun masih belum lagi memberikan sebarang komen berkenaan insiden tersebut.

Alahai, sekarang ni selamat ke tak nak beli iPhone 7? Ke nombor 7 ni memang ada sumpahan? 🙂

