Sony Xperia XZ1 Compact Mula Dijual Dengan Tanda Harga RM2,099

881

Bulan yang sebelumnya Sony Malaysia telah membawa masuk Sony Xperia XZ1 ke pasaran tempatan, malangnya untuk model kompak ia tidak dibawa bersama. Disebabkan mendapat permintaan yang tinggi oleh pengguna dan peminat tegar, kini Sony Xperia XZ1 Compact diumumkan ke pasaran Malaysia.

Meletakkan ia sebagai telefon pintar dalam kelas flagship mini, peranti ini dilengkapi dengan beberapa perkakasan yang baik serta ciri-ciri menarik seperti 3D Creator menggunakan kamera Motion Eye, paparan yang tajam, dan sistem audio premium.

Apa yang cuba diketengahkan ialah fungsi 3D creator, melalui kamera utama 19 Megapiksel f/2.0 Motion Eye, pengguna kini mampu mengambil gambar 3D untuk dijadikan avatar di dalam aplikasi AR atau mencetak ia menerusi 3D printer. Selain itu, untuk rakaman video gerak perlahan, sensor ini juga menyokong sehingga 960 fps (bingkai sesaat).

Kamera depan pula mampu mengambil gambar dengan lebih luas menggunakan lensa sudut lebar 120 darjah. Manakala, ciri hiburan pula dimuatkan dengan Hi-Res Audio bersama fungsi pembatalan bunyi bising. Speaker ini menawarkan ClearAudio+ dengan meningkatkan 50% kualiti di dalam audio.

Paparan pula dipadankan dengan skrin 4.6 inci Triluminos Corning Gorilla Glass 5 bersama kerangka bodi kalis air dan debu IP68. Melengkapkannya, set cip Snapdragon 835, RAM sebesar 4GB dan storan 32GB yang menyokong kad microSD turut dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo. Bateri sebesar 2,700mAh juga menyokong fungsi pengecasan pantas Quick Charge 3.0.

Sony Xperia XZ1 Compact boleh didapati mulai hari ini dengan harga RM2,099 dengan pilihan warna White Silver, Black, Horizon Blue, dan Twilight Pink.