
Xiaomi Mi MIX 2S Dilancarkan – Sokong Snapdragon 845, Dwi Kamera & Pengecasan Tanpa Wayar
Siapa yang tidak kenal telefon pintar keluaran Xiaomi dari siri ‘MIX’ kan? Ia adalah sebuah telefon pintar keluaran Xiaomi yang mana menampilkan peranti tanpa bingkai pertama dalam pengeluaran telefon pintar. Seiring dengan peredaran, Xiaomi kembali dengan model terbaru iaitu Mi MIX 2S yang masih mengekalkan tanpa bingkai.
Tidak mahu mengikut trend terkini, Mi MIX 2S tidak menyokong paparan skrin ‘rongak’, sebaliknya lebih selesa hadir dengan paparan skrin berukuran 5.99 inci Full HD+.
Apa yang menariknya telefon pintar ini, ia menyokong beberapa spesifikasi terkini seperti dikuasakan oleh Snapdragon 845, yang mana merupakan model pertama dari China yang menggunakan pemproses ini. Bukan itu sahaja, Mi MIX 2S turut menyokong pembantu maya dari Xiaomi sendiri yang diberi nama Xiao AI untuk bersaing bersama Bixby, Google Assistant, dan Siri.
Diserikan dengan RAM sehingga 8GB dan ROM sebesar 256GB, Mi MIX 2S juga dibekalkan bateri berkapasiti 3400mAh dengan sokongan pengecasan pantas wayarles bersama plat pengecas 7.5 watt yang dikatakan terpantas setakat ini.
Ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan putih, ia dijual pada harga bermula RMB3299 (kira-kira RM2,036) untuk varian RAM 6GB/64GB ROM, RMB3599 (kira-kira RM2,221) bagi varian RAM 6GB/128GB ROM serta varian yang paling tinggi RAM 8GB/256GB ROM berharga RMB3999 (kira-kira RM2,468).