BOOST BANK DAN DCAP DIGITAL BEKERJASAMA UNTUK MEMACU PEMILIKAN MOTOSIKAL PANTAS DAN FLEKSIBEL

Boost Bank, bank digital tempatan pertama di Malaysia, bersama DCAP Digital, sebuah platform Lending-as-a-Service (LaaS) sepenuhnya yang dikuasakan AI, telah bekerjasama memperkenalkan Pembiayaan Motosikal, sebuah penyelesaian sewa beli digital pertama untuk pemilikan motosikal di Malaysia. Sejak pelaksanaan fasa perintis pada Jun 2025, produk pembiayaan ini menunjukkan daya tarikan pasaran yang memberangsangkan, terutama dalam kalangan segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Pembiayaan Motosikal ini kini ditawarkan melalui pengedar motosikal terpilih, dengan peluasan rangkaian dirancang ke seluruh Semenanjung Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pemohon yang layak boleh mendapat pembiayaan sehingga 90% bagi moped baharu (bawah 250cc), disokong oleh proses kelulusan pantas berkuasa AI memberikan pengalaman pembiayaan yang lancar dan tanpa kerumitan. Produk ini menawarkan kadar faedah tetap sehingga 10% setahun, dengan tempoh pembiayaan fleksibel sehingga 60 bulan.

Fozia Amanulla, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank berkata, “Bagi pembeli kali pertama, pekerja gig, dan penunggang harian, mobiliti adalah pemangkin utama kepada peluang dan mata pencarian, khususnya dalam segmen yang kurang dapat perkhidmatan kewangan. Dengan pelancaran Pembiayaan Motosikal ini, kami memenuhi keperluan harian yang nyata melalui penyelesaian digital yang mudah diakses, yang melicinkan proses pembiayaan dan memberi lebih ramai rakyat Malaysia peluang untuk maju ke hadapan, sama ada dari segi mobiliti mahupun kewangan. Kerjasama dengan DCAP Digital mencerminkan komitmen bersama kami terhadap inovasi berteraskan tujuan, dan menandakan satu lagi langkah dalam perjalanan Boost Bank untuk memperluas akses kewangan yang bermakna untuk semua.”

Wilson Kok, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Risiko DCAP Digital berkata, “Kerjasama dengan Boost Bank adalah pencapaian penting untuk DCAP Digital ketika kami terus memperkukuh kedudukan dalam ekosistem motosikal. Disokong oleh enjin kredit berkuasa AI kami, penyelesaian ini menawarkan pengalaman pembiayaan yang lancar dan mudah diakses sambil memastikan amalan pembiayaan yang adil dan bertanggungjawab. Dengan kepakaran mendalam dalam pasaran motosikal serta komitmen terhadap inovasi, kami berbangga dapat menetapkan penanda aras baharu dalam pembiayaan mobiliti yang memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki motosikal dan meningkatkan mobiliti harian mereka.”

Untuk membantu pelanggan mengurus pinjaman dengan yakin, bayaran balik dibuat secara automatik melalui Direct Debit di aplikasi Boost Bank. Pelanggan boleh menjejak dan melihat status bayaran balik serta mengakses e-penyata tahunan, memberi gambaran jelas di setiap langkah. Pembiayaan Motosikal ini turut menawarkan ketelusan sepenuhnya mengenai fi dan caj dari peringkat awal, membantu pelanggan merancang kewangan  dan membuat keputusan pembelian dengan lebih baik.

Boost Bank dan DCAP Digital bersama-sama membuka laluan bagi rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk mencapai keupayaan kewangan melalui pemilikan motosikal yang lebih mudah, pantas dan inklusif.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Pembiayaan Motosikal, sila layari https://link.myboost.co/MotorBikeLoan

You might also like