
Apple iPad 9.7” Terbaru Dengan Sokongan Apple Pencil Diperkenalkan
Syarikat Cupertino, Apple hari ini memperkenalkan sebuah tablet atau iPad generasi terbaru dengan skrin bersaiz 9.7-inci kepada umum. Pembaharuan yang dibawakan salah satunya ialah sokongan Apple Pencil untuk meluaskan penggunaan iPad seperti sebuah komputer.
Kini iPad 9.7” dikuasakan oleh cip pemproses A10 Fusion empat-teras dengan prestasi 40% lebih baik berbanding model terdahulu. Paparan yang digunakan ialah berteknologi IPS Retina beresolusi 2048 x 1536p yang ditemani pengimbas cap jari, TouchID. Tablet iPad ini dioperasikan iOS 11 dengan bateri yang mampu bertahan seharian atau sehingga 10 jam melayari internet.
Sudut lensa pula, iPad 9.7” dimuatkan dengan sensor kamera 8 Megapiksel f/2.4 dengan ciri Autofocus, Live Photo, HDR, Panorama, dan sebagainya. Kamera FaceTime pula hanya dibekalkan sensor 1.2 Megapiksel f/2.2 berkualiti HD 720p. Sementara unit rakaman menyokong video HD 1080p, gerak-perlahan 120fps, dan 3-kali zoom.
Melalui sokongan Apple pencil, pengguna kini lebih mudah untuk melakukan suntingan video, gambar, dan kerja pejabat dalam masa sama iPad ini boleh membuka dua tetingkap secara serentak (multi-window). Disamping itu, peranti ini diintegrasikan dengan teknologi realiti-gabungan (AR) sesuai untuk kerja-kerja mereka bentuk atau kegunaan kanak-kanak.
Apple iPad 9.7” dibina dengan tubuh badan aluminium seberat 469g disediakan dengan dua varian iaitu WiFi dan 4G + WiFi. Difahamkan ia akan mula berada di pasaran Malaysia sekitar Mei depan.