
Samsung Galaxy J2 Pro Dilancarkan Dengan Paparan 5” Dan Kamera 8MP

Sebelum ini eRing pernah kongsikan rekaan Samsung Galaxy J2 Pro yang tertiris dan selepas beberapa minggu kami kongsikan pula sarung pelindung yang tertiris di laman rasmi Samsung sendiri. Bagaimanapun pada masa itu ia belum diumumkan tetapi pada hari ini ia dilancarkan secara rasmi. Telefon pintar ini didatangkan dengan spesifikasi permulaan dan dipasarkan di negara Vietnam.
Kini Galaxy J2 Pro hadir dengan paparan 5-inci Super AMOLED beresolusi 540 x 960p bersama kerangka belakang yang boleh dibuka sekaligus bateri sebesar 2,600mAh boleh ditanggalkan untuk memasukkan dwi SIM micro. Dikuasakan oleh pemproses empat-teras, ia disokong kapasiti RAM 1.5GB berkelajuan 1.4Ghz.


Diberikan kuasa penggambaran 8 Megapiksel dan bantuan LED flash di belakang, ia juga menempatkan kamera swafoto 5 Megapiksel di bahagian depan. Didatangkan bersama ciri NFC, Bluetooth 4.2, WiFi 802/11ac, dan pengimbas cap jari, peranti ini dioperasikan menerusi sistem Android 7.0 Nougat.
Samsung Galaxy J2 Pro ditawarkan dengan pilihan warna Hitam, Biru, dan Emas mula dijual pada tanda harga VND3,290,000 atau kira-kira RM580 selepas tukaran mata wang semasa. Setakat ini, tiada info peranti ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

