[Tertiris] Pendedahan Awal Reka Bentuk Dan Spesifikasi Asas Samsung Galaxy J2 (2018)

Setakat suku ketiga tahun 2017, Samsung dilihat masih berjaya mengekalkan kedudukan teratasnya di dalam perkongsian pasaran telefon pintar global dengan 22.3%. Perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Samsung merupakan antara pengeluar telefon pintar yang sangat aktif dalam memperkenalkan model terbaru keluarannya yang terdiri dari kelas permulaan sehinggalah kelas premium atasan.

Baru-baru Slashleaks yang sememangnya terkenal sebagai salah satu sumber yang sering berkongsi gambar ketirisan peranti terbaru telah mendedahkan satu lagi model terbaru dari kelas permulaan iaitu Samsung Galaxy J2 (2018). Berdasarkan kepada gambar yang diperolehi, model bajet ini dilihat masih mengekalkan rekaan ikonik siri J dengan sedikit pembaharuan rekaan pada simbol butang kawalan dan juga kamera utamanya.

Walaupun tidak banyak spesifikasi yang telah didedahkan, Samsung Galaxy J2 (2018) yang menggunakan nama kod SM-J250 ini dipercayai menampilkan sokongan skrin 5 inci Super AMOLED beresolusi 960 x 540 piksel. Dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 425, memori dalaman sebesar 16GB, RAM 1.5GB, kamera utama 8 Megapiksel, kamera depan 5 Megapiksel dengan sokongan LED Flash dan juga bateri berkapasiti 2,600 mAh.

Sumber: Slashleaks

You might also like