
Prestasi Cip A11 Iphone X Jauh Lebih Baik Berbanding Peranti Android Yang Lain

Minggu lepas kita telah melihat peranti iPhone terbaru dilancarkan secara rasmi. iPhone yang diperkenal menawarkan beberapa ciri menarik seperti kamera yang dipertingkat, sensor pengimbas wajah 3D, pengecasan pantas, dan cip pemproses tercanggih Apple iaitu A11 Bionic.
Melalui satu ujian GeekBench yang dilakukan, ternyata cip keluaran Apple terbaru ini jauh lebih baik berbanding cip-cip lain di luar sana. Sebelum ini, Samsung Galaxy Note 8 berada di tempat pertama dalam senarai telefon pintar berprestasi tinggi. Namun, selepas kemunculan iPhone X ia dikatakan telah membungkus peranti-peranti Android yang lain dengan jurang skor yang banyak.

Skor pada ujian single-core kini hampir dua kali ganda lebih baik berbanding A10 Fusion selain 40% lebih tinggi daripada Snapdragon 835/Exynos 8895 di Galaxy Note 8. Menariknya, A11 Bionic juga menjadi cip pertama keluaran Apple yang menduduki kedudukan tertinggi dalam ujian multi-core.

Apple A11 Bionic diterajui oleh pemproses enam-teras, dua daripadanya berkuasa tinggi dan empat selebihnya berkuasa efisyen. Apa yang menjadi kelebihan pada cip terbaru ini, ia boleh beroperasi keenam-enam teras sekaligus – tetapi tidak pada A10 fusion. Di samping itu, iPhone X masih lagi mengekalkan memori RAM sebanyak 3GB sama seperti model tahun lepas.
Walaubagaimanapun, kita tunggu sahaja sehingga cip Kirin 970 diperkenalkan Oktober kelak. Mampukah Kirin memintas kedudukan A11 Bionic sekarang ini?

