Apple iPhone X – Telefon Pintar Termaju Dengan Skrin Hampir penuh

Menjadi topik hangat seawal tahun ini, Apple dikatakan akan menyambut ulangtahun mereka yang ke-10. Oleh itu, berlangsung dalam acara yang sama, Apple kini telah merealisasikan impian syarikatnya dengan memperkenalkan iPhone X. Model ini adalah iPhone generasi masa depan, ia juga dikatakan menggunakan ciri-ciri tercanggih dua tahun kehadapan.

Bukan yang pertama menggunakan skrin hampir penuh, tetapi apa yang Apple bawakan sudah tentunya membuat peminatnya teruja. Ia menggunakan paparan AMOLED 5.8 inci yang dipanggil Super Retina Display yang menyalurkan sejumlah 458ppi. Paparan beresolusi 1125 x 2436px yang menyokong HDR10 dan Dolby Vision adalah yang tercantik pernah dihasilkan untuk iPhone.

Apa yang telah memecah tradisi iPhone ialah peranti ini tidak lagi hadir dengan butang TouchID tetapi Apple telah menggantikannya dengan ciri Gesture. Ini bukanlah bermaksud iPhone X tidak lagi selamat dari segi keselamatan sebaliknya ia telah dilengkapi dengan FaceID (pengecaman wajah).

FaceID yang direka juga mampu berfungsi dalam persekitaran yang gelap. Dengan 30,000 titik wajah, sistem ini adalah lebih baik berbanding TouchID. Ciri terbaru ini juga akan mengambil alih segala tugas TouchID termasuklah pembayaran Apple Pay.

Menariknya, Apple juga telah memasukkan fungsi Animoji pada iPhone X secara eksklusif. Melalui fungsi ini, pengguna kini boleh menggunakan wajah emoji sebagai gantian wajah sebenar. Setiap mimik muka yang dilakukan akan dialihkan ke wajah animasi seterusnya boleh dihantar kepada kenalan menerusi iMessage.

Iphone X menggunakan dwi kamera 12 Megapiksel dengan aperture f/1.8 dan f/2.4 di belakang. Kedua-dua sensor ini dipertingkatkan dengan kehadiran fungsi OIS (penstabilan wajah) untuk pengalaman penggambaran yang lebih baik. Perkakasan dalaman masih lagi dikuasakan oleh cip A11 Bionic enam-teras dan perisian iOS 11.

Baca juga : Rasmi! Apple Melancarkan iPhone 8 Dan iPhone 8 Plus

Selain itu, bateri pada iPhone X juga boleh diguna dua jam lebih lama berbanding iPhone 7. Bateri pula boleh meningkat kepada 50% dengan 30 minit waktu mengecas.

Iphone X akan mula dijual selepas iPhone 8 dan iPhone 8 Plus – bermula 3 November depan dengan warna pilihan Silver dan Space Gray sahaja. Model ini didatangkan dengan dua varian iaitu 64GB dan 256GB pada harga bermula USD999 (kira-kira RM4,202).

Dalam masa sama, Apple turut memperkenalkan AirPower iaitu sebuah alat pengecas tanpa wayar yang mampu mengecas sejumlah peranti. Pengecas baru ini juga boleh mengecas iPhone X, Apple Watch, dan AirPod secara serentak. Di samping itu, setiap proses pengecasan peranti akan dipaparkan di skrin iPhone. Alat ini akan mula dipasarkan tahun hadapan.

https://www.youtube.com/watch?v=mW6hFttt_KE

You might also like