
Rasmi! Apple Melancarkan iPhone 8 Dan iPhone 8 Plus

Apple hari ini menamatkan penantian peminat setia mereka dengan memperkenalkan beberapa produk baru. Selepas 10 tahun berada di dalam industri pengeluaran telefon pintar, kini iPhone 8 dan iPhone 8 Plus dilancarkan secara rasmi. Apple tidak mahu menggunakan nama ‘7s’ kerana kedua-dua model ini telah menerima banyak perubahan.

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus didatangkan bersama cip pemproses A11 Bionic enam-teras dan sensor kamera terbaru. Saiz skrin masih lagi mengekalkan paparan 4.7 inci dan 5.5 inci yang menggunakan Retina HD dengan resolusi yang sama seperti iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. Ini termasuk ciri-ciri seperti 3D Touch, Cinema Wide Color Gamut, dan True Tone. Peranti ini direka menggunakan gabungan bingkai aluminium siri 7000 dan panel gelas yang tahan lasak, selain mendapat sokongan kalis air.

Apple juga telah meletakkan unit kamera 12 Megapiksel terbaru di kedua-dua model. Dengan adanya cip berkuasa A11 Bionic, pemprosesan gambar kini lebih pantas dalam persekitaran gelap, lebih tajam, lebih jelas, dan paling penting mampu merakam video berkualiti 4K-60fps dan 1080p-240fps.
Kamera utama 12 Megapiksel di iPhone 8 dan iPhone 8 Plus hadir bersama aperture f/1.8, sementara pada model Plus ia telah dimuatkan satu lagi sensor 12 Megapiksel dengan aperture f/2.8 untuk tujuan telefoto.

Fungsi telefoto pada iPhone 8 Plus kini menerima ciri terbaru yang dipanggil Potrait Lighthing. Ciri ini akan memasukkan efek yang bersesuaian dengan wajah anda semasa atau selepas gambar potret diambil.
Seperti kebiasaan, setiap tahun Apple akan membawa cip terbaru dalam barisan iPhone. Tahun ini, Apple menggantikan cip empat-teras A10 Fusion kepada cip enam-teras pertama keluaran Apple iaitu A11 Bionic, ia dikatakan bertindak 25% lebih pantas dan 70% lebih efisyen.

Manakala, GPU keluaran Apple ini pula menjanjikan prestasi 30% lebih laju berbanding GPU pada A10 Fusion. Waktu pengecasan kini tidak lagi mengjengkelkan, kerana iPhone 8 dan iPhone 8 Plus kini menyokong pengecasan pantas.

Apple iPhone 8 dan iPhone 8 Plus yang didatangkan dengan pilihan warna Silver, Space Gray, dan Gold akan dijual bermula 22 September depan dalam dua varian iaitu 64GB dan 256GB.

Harganya pula bermula dari USD699 (RM2,941) sementara model Plus dari USD799 (RM3,361). Bagaimanapun, harga dan tarikh untuk pasaran Malaysia masih lagi belum diketahui.
https://www.youtube.com/watch?v=k0DN-BZrM4o

