

Vivo juga tidak mahu ketinggalan menyertai fenomena skrin penuh di depan. Umumnya, vivo yang sudah terkenal di Malaysia dikatakan akan membawa masuk model tercanggih mereka iaitu vivo V7+. Rekaan ini juga bakal menggegarkan pasaran telefon pintar tempatan sekaligus memberi saingan kepada jenama-jenama lain.
Sebelum kita menghampiri tarikh keramat vivo pada 26 September depan, beberapa keping gambar yang menampakkan vivo V7+ kini tersebar. Ia memperlihatkan rekaan skrin hampir penuh dengan nisbah skrin ke kerangka yang nipis.

Peranti yang berwarna hitam ini juga dikatakan menempatkan sensor kamera selfie sebesar 24 Megapiksel dan LED flash bersama sensor jarak dekat (proximity) di bahagian atas. Maka dengan itu, pengisian di bahagian depan nampaknya betul-betul padu.


Disebalik panel depan, kelihatan sebuah kamera solo di bucu atas. Dimaklumkan kamera utama ini menempatkan sebuah sensor 16 Megapiksel dan pengimbas cap jari di bahagian tengah.

Di sudut tepi pula, gambar ini menceritakan kehadiran dua jalur antena malah kerangka unibodi juga nampak lebih menonjol di samping butang laras suara di posisi yang ergonomik.

Selain itu, foto yang dikatakan diambil oleh salah seorang pengamal teknologi di India menunjukkan vivo V7+ menyokong dua slot SIM serta slot kad microSD.
Walaubagaimanapun, kami pasti vivo V7+ akan membawakan pelbagai ciri menarik dan terbaru pada tahun ini. Apa-apa pun, kita tunggu sahaja perkembangan dan berita lanjut dari vivo Malaysia kelak.

