Moto Z2 Force Edition Diumumkan Bersama Moto Mod Kamera 360 Terbaru

Motorola akhirnya mengumumkan keluaran terbaru Moto Z2 edisi Force. Peranti yang popular dengan kebolehan modular ini juga diperkenalkan dengan mod baharu yang menampilkan kamera 360 darjah di negara Eropah dan beberapa negara Timur Tengah yang lain.

Moto Z2 Force didatangkan dengan paparan OLED 2K (2560x1440p) berukuran 5.5 inci dengan keistimewaan panel depan ShatterShield. Kerangka bodi dikuatkan lagi dengan aluminium siri 7000 menjadikan ia tahan lasak termasuk kalis air, debu dan hentakan.

Sementara bahagian dalaman menerima set cip Qualcomm Snapdragon 835, sistem operasi Android 7.1.1 Nougat diikuti memori RAM 4GB dan ROM 64GB, turut menyokong storan tambahan. Kapasiti bateri pula diturunkan dari model sebelumnya dari 3,500mAh kepada 2,730mAh sekarang ini. Walaupun bateri yang sedikit kecil, ia masih lagi menyediakan pengecasan pantas 15W TurboPower.

Selain itu, kehebatan kamera yang terletak di bahagian belakang memuatkan dua sensor 12 Megapiksel f/2.0, mampu merakam gambar monochrome dan standard. Fungsi tambahan seperti PDAF, AF, EIS dapat membantu menghasilkan gambar bokeh. Namun, ketiadaan bantuan OIS bukan penghalang peranti ini untuk merakam video sehingga kualiti 4K.

Kamera depan 5 Megapiksel didapati tidak banyak membantu dari segi penggambaran tetapi ia cukup sekadar memuaskan. Ciri lain yang dipadatkan termasuk dua slot kad SIM, NFC, Wi-Fi 802.11ac MIMO, Bluetooth 4.2 (v5.0 apabila kemas kini Android O) dan USB Type-C. Agak mengecewakan, tiada lagi kehadiran bicu 3.5mm audio jack tetapi boleh mendengar lagu menggunakan adapter sama seperti iPhone 7.

Dalam masa yang sama, Motorola juga mengumumkan modular terbaru Moto Mod 360 Camera boleh merakam pemandangan 360 darjah dalam kualiti 4K dan audio 3D. Bagi memudahkan pengguna, rakaman video dan gambar boleh terus disunting menerusi telefon pintar Moto Z2 Force. Modular ini dijual pada harga USD299 (lebih kurang RM1,281) bermula 10 Ogos depan.

https://www.youtube.com/watch?v=Jzj6AtzJ4ik

Baca juga : Pelancaran Rasmi Moto Z2 Play Di Malaysia dan Motorola Mod

You might also like