Essential Phone – Telefon Pintar Daripada Andy Rubin Diperkenalkan

Kepada anda yang masih belum mengenali siapakah Andy Rubin, beliau adalah pengasas Android yang tidak lagi berada dalam carta organisasai Android, malah Andy telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Essential. Essential baru-baru ini telah memperkenalkan peranti modular pertama mereka yang diberi nama ‘PH-1’ yang hadir dengan paparan dengan bingkai yang hampir tidak kelihatan.

Nisbah skrin ke kerangka pada peranti ini mencecah 19:10 lebih lebar daripada LG G6 mahupun Samsung Galaxy S8. Paparan QHD sudut ke sudut ini telah meletakkan kamera depan berada di tengah bahagian atas peranti tersebut.

Di bahagian belakang pula terdapat sistem dwi kamera 13 Megapiksel iaitu monochrome dan RGB dengan aperture F/1.8 membolehkan rakaman gambar bokeh dan telefoto diambil selain fungsi PDAF dan fokus laser. Kamera depan pula dilengkapi dengan 8 Megapiksel F/2.2, di samping kedua-dua kamera ini menyokong rakaman video 4K pada 30fps dan 1080p pada 60fps.

Apa yang menariknya tentang ‘PH-1’ ini ialah keunikan rekaan sambungan magnetik yang bersebelahan dengan kamera belakang. Ia boleh disambung dengan aksesori modular kamera 360º 12 Megapiksel bersama lensa fish eye 210º dan empat microphone untuk meningkatkan kualiti rakaman video. Selain itu, ciri sambungan magnetik ini juga boleh digunakan untuk mengecas telefon menggunakan aksesori tambahan yang akan diperkenalkan kelak.

Essential Phone ini menggunakan bingkai kerangka yang diperbuat daripada Titanium di mana lebih kuat dan tahan lasak berbanding aluminium siri 7000. Panel belakang pula dipasangkan material jenis seramik yang didatangkan dengan pilihan warna Black Moon dan Pure White, serta warna akan datang Stellar Grey dan Ocean Depths.

Tidak lengkap dengan luaran sahaja, bahagian perkakasan pula dimuatkan dengan cip berkuasa Snapdragon 835 bersama RAM 4GB dan storan 128GB. Sistem pada peranti ini menggunakan Android (mungkin Nougat) dibantu dengan UI yang tersendiri. Pengecasan pada bateri berkuasa 3,040mAh ini disambung melalui USB Type-C dan tiada sebarang slot kad microSD disediakan.

Telefon pintar daripada Essential ini belum lagi diumumkan untuk pasaran selain Amerika Syarikat, ia dijual pada harga USD700 (lebih kurang RM2,988) dan tambahan USD50 (RM213) untuk aksesori kamera 360 darjah.

You might also like