
[TIP] Bagaimana Menaip di Aplikasi WhatsApp Tanpa Menggunakan Jari?!
Tidak dinafikan, teknologi pengecaman suara daripada Google semakin berkembang pesat. Fungsi ini memudahkan pengguna untuk membuat carian tanpa perlu menaip. Selepas mengalami banyak kemas kini selepas kewujudannya pada tahun 2011, pengecaman suara daripada Google mampu melakukan perkara yang sangat mengagumkan. Kini, anda boleh menaip mesej tanpa perlu menggunakan jari, sebaliknya menggunakan arahan suara yang dikenali sebagai Google Voice Typing.
Sebenarnya banyak manfaat yang boleh dilakukan apabila anda mengaktifkan fungsi Google Voice Typing ini dan salah satunya apabila sedang memandu. Dengan arahan suara yang ada, anda boleh terus menaip mesej semasa memandu dan dalam masa yang sama dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap pemanduan anda. Ingin mengetahui bagaimana cara-cara mengaktifkan fungsi Google Voice Typing ini? Mari ikuti Top Tip yang kami ingin kongsikan kepada anda!
Langkah-langkah yang perlu anda ikuti:-
01>> Aktifkan Google Voice Typing
Sebelum menggunakan fungsi ini, anda perlu mengaktifkan Google Voice Typing terlebih dahulu. Caranya juga mudah, hanya perlu ke:

02>> Aktifkan Bahasa Yang Diinginkan
Selepas mengaktifkan Google Voice Typing, anda boleh memilih bahasa yang diinginkan. Sebagai contoh, kami memilih Bahasa Melayu sebagai ‘Default Primary’. Selepas selesai memilih, sistem Google akan lebih peka dan sentiasa memberi prioriti kepada Bahasa Melayu di dalam mengesan suara anda. Selain bahasa Melayu, kami juga telah memilih bahasa Inggeris (UK) sebagai bahasa kedua.
03>> Bersedia Menggunakan Google Voice Typing
Selepas semua tetapan selesai, anda pergi ke aplikasi WhatsApp. Di sebelah kanan papan kekunci, terdapat sebuah ikon mikrofon. Tekan dan kemudian bercakap apa sahaja yang diinginkan di dalam Bahasa Melayu mahupun Inggeris.
Apakah Kelemahan Google Voice Typing
- Bagi membolehkan Google Voice Typing memahami suara pengguna, anda perlu menggunakan bahasa baku/standard. Sekiranya anda menggunakan bahasa pasar mahupun logat tempatan, ia akan menyukarkan pengecaman suara yang dilakukan.
- Google Voice Typing tidak sesuai untuk digunakan dalam menghasilkan teks berformat. Walaupun ia mampu mengecam arahan suara apabila pengguna menyuruh meletakkan tanda baca seperti koma, noktah, tanda soal dan beberapa lagi, ia sering tersalah erti dan terus mengeja tanda baca itu. Malah, fungsi tersebut juga tidak disokong dalam Bahasa Melayu.
- Seperti sudah terbiasa, apabila permulaan ayat akan diletakkan dengan huruf besar atau semasa menggunakan kata nama khas. Sayangnya, Google Voice Typing tidak menyokong fungsi tersebut, dan jika perlu anda perlu menukarnya secara manual.
- Jika anda menggunakan Google Voice Typing secara offline, ia hanya menyokong bahasa Indonesia sebagai bahasa terdekat dengan bahasa Melayu. Salah satu kelemahannya adalah jika ingin menggunakan Google Voice Typing dalam bahasa Melayu, anda perlu mempunyai rangkaian Internet.
Pandangan Kami…
Sepanjang menggunakan fungsi ini, tidak dinafikan ianya sangat lancar dan dapat mengesan suara dengan cepat dan pantas. Kami suka menggunakan Google Voice Typing semasa memandu kerana kini anda tidak lagi perlu tekun mengadap smartphone untuk menulis mesej semasa memandu dan ia pastinya sangat merbahaya bukan?
Walaupun ada di kalangan pengguna yang lebih suka menggunakan arahan suara daripada aplikasi WhatsApp sendiri, sekurang-kurangnya kehadiran Google Voice Typing ini mampu memberi alternatif lain buat anda. Seperti yang diberitahu, terdapat beberapa kelemahan pada Google Voice Typing dan yang mengecewakan adalah ia tidak menyokong bahasa pasar. Google Voice Typing juga tidak boleh digunakan secara offline, sebaliknya anda perlukan Internet untuk terus menggunakan fungsi ini dalam bahasa Melayu.
Sekiranya anda menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ‘Default Primary’, tidak menjadi sebarang masalah untuk Google Voice Typing mengesan suara anda. Walaupun tergagap-gagap bertutur di dalam bahasa Inggeris, Google Voice Typing masih boleh mengesan suara anda dengan betul.
:: Ekstra Info :: Selain smartphone mahupun tablet, anda juga boleh menggunakan Google Voice Typing pada komputer. Bagi membolehkan ianya berfungsi, anda hanya memastikan komputer mempunyai mikrofon untuk tujuan tersebut dan menggunakan pelayar Chrome. Layari sahaja laman sesawang Google untuk maklumat lanjut.




