
Ada satu fakta yang kami mahu kongsikan dengan anda, Malaysia menduduki tangga ke 9 di dalam carta tembusan pasaran smartphone global, dan statistik tersebut sahaja sudah cukup menyatakan betapa hebatnya rakyat kita dalam penggunaan teknologi mobil. Fakta tersebut jugalah yang mungkin mendorong SHARP melancarkan smartphone mereka, secara spesifiknya model Z2 dan M1 ke dalam pasaran tempatan yang sentiasa dahagakan peranti baru.
Z2, Smartphone SHARP Berspesifikasi Tinggi
SHARP Z2 dikuasakan pemproses dengan 10 teras (MediaTek Helio X20), menjadikan ianya salah satu smartphone unik di dunia yang hadir dengan spesfikasi pemproses yang tinggi. Segala proses dan tugasan yang dilancarkan pada Z2 pula dibantu oleh RAM berkapasiti 4GB, jadi kami rasa tiada ragu-ragu lagi bahawa smartphone ini mampu mengendalikan pelbagai tugasan berat yang dilontarkan kepadanya.
Skrin 5.5 inci FHD pula menawarkan kualiti paparan yang cukup baik, mungkin ini adalah salah satu spesifikasi yang boleh ditambah baik pada pendapat kami, kerana rata-rata peranti flagship bagi setiap pengeluar ketika ini menggunakan skrin beresolusi 2K. Kamera 16 megapiksel yang dilengkapkan pada smartphone ini juga cukup pantas dan mampu menangkap gambar dengan kualiti yang baik sepanjang kami mencuba peranti ini dalam masa yang agak singkat di majlis pelancaran tersebut.
Secara keseluruhannya kami rasakan ini adalah peranti yang solid untuk harga RM 1,199. Lihat jadual spesifikasi untuk maklumat lebih mendalam berkenaan Z2.
SHARP M1, Khas Buat Kaki Selfie
SHARP juga tidak melupakan kelompok pengguna yang menginginkan ‘senjata’ selfie yang hebat. SHARP M1 dilengkapi kamera hadapan 13 megapiksel dengan 77 darjah tangkapan wide angle, itu sahaja sudah cukup untuk memancing penggemar selfie untuk mencuba peranti ini.
Dari segi spesifikasi lain pula, M1 tidak kurang hebatnya dengan pemproses 8 teras, RAM 3GB dan ROM 64GB, masih cukup hebat untuk anda bermain permainan terbaru dan juga tugasan berat lain. Harga pula memang berpatutan, SHARP menawarkan peranti ini dengan tag harga RM 899.
Kedua-dua peranti ini boleh dibeli dari wakil penjual SHARP, untuk melihat senarai stor jualan, anda boleh layari laman rasmi SHARP.