
Seperti yang kita sedia tahu, kabinet Malaysia telah meluluskan Uber berkhidmat secara rasmi di Malaysia. Terbaru, bertempat di Uber PSC Petaling Jaya, Uber telah melancarkan Projek: Bebas Bergerak yang menampilkan ciri-ciri baru bagi pemandu yang mengalami masalah pendengaran.
Bekerjasama dengan Malaysian Federation of the Deaf (MFD), salah satu ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi terbaru Uber adalah isyarat tempahan baru yang menggunakan visual cahaya bergerak dan bukan audio seperti sebelum ini.
Penumpang tidak boleh membuat panggilan terhadap pemandu, sebaliknya satu mesej akan muncul pada peranti anda sekiranya mendapat seorang pemandu yang cacat pendengaran. Uber memberitahu mereka cuba membantu para pemandu mengatasi masalah sedemikian dengan meminta para penumpang untuk menulis destinasi mereka dengan tepat.
Pada acara yang berlangsung ini, Encik Mohamad Sazali Shaari, selaku Presiden Malaysian Federation of the Deaf (MFD) berkata teknologi merupakan aspek penting dalam memajukan golongan kurang upaya. Menurut Uber lagi, ia merancang untuk mengambil lebih ramai pemandu yang cacat pendengaran dan bakal bekerjasama dengan beberapa pertubuhan pada masa akan datang.

