Jam Pintar Fitbit Versa Berharga RM990 Dilancarkan di Malaysia

Fitbit yang terkenal dengan penawaran jam boleh pakai dunia kali ini melancarkan produk terbaru iaitu Fitbit Versa ke pasaran Malaysia. Peranti ini akan berada di bilik pameran Harvey Norman, All IT Hypermarket, AONE Plus, Best Denki, Timekeeper, Thunder Match Technology dan Lazada tidak lama lagi.

Fitbit Versa merupakan jam pintar yang boleh memantau kesihatan dan aktiviti kecergasan. Ia dilengkapi sensor degupan jantung serta GPS yang mampu menyokong penggunaan dalam keadaan hujan ataupun di dalam air pada kedalaman sehingga 50 meter. Bukan setakat itu, ia juga boleh dijadikan sebagai alat untuk membuat pembayaran tanpa tunai, memainkan lagu, memaparkan notifikasi, dan memainkan aplikasi popular. Pengguna juga boleh mengubah antaramuka mengikut gaya hidup tersendiri menerusi aplikasi galeri yang disediakan.

Fitbit Versa sesuai digayakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira mereka yang bekerja di pejabat ataupun seorang atlet sukan. Ia secara umumnya dapat membantu pengguna memastikan diri sentiasa dalam keadaan cergas dan sihat. Peranti boleh pakai ini mampu memberikan waktu penggunaan sehingga 4 hari dengan sekali pengecasan penuh.

Lebih menarik, Fitbit turut mengumumkan penjejak kesihatan khas untuk pengguna wanita, di mana jam tangan pintar ini membantu wanita menjejak kitaran haid mereka. Penjejak kesihatan ini tersedia untuk Fitbit Versa dan Fitbit Ionic apabila anda menggunakan aplikasi Fitbit bermula Mei 2018 ini.

Fitbit Versa akan mula dipasarkan pada suku kedua 2018 dengan harga RM990 seunit. Sebuah lagi model Fitbit Versa Edisi Khas pula berharga RM 1,120 seunit dan pelbagai aksesori boleh dibeli dengan harga dari RM130 sehingga RM420 di wakil penjual sah yang terpilih.

You might also like