
Cip Bajet AMD Ryzen 3 3300X Mampu Tapau Cip Intel i7
Macam susah percaya bukan dengan tajuk di atas, namun itulah apa yang dilaporkan hari ini pada banyak ruangan berita teknologi.

AMD Ryzen 3 3300X yang bakal dijual pada bulan Mei nanti pada harga sekitar $120 (RM 523) telah pun berjaya mencatatkan skor yang lebih tinggi dari Intel Core i7 7700K dalam ujian Geekbench 4. Harus kami terangkan bahawa cip Intel Core i7 7700K merupakan cip keluaran tahun 2017, namun untuk cip bajet menapau skor cip i7 yang kini dijual pada harga RM 1,500 amatlah mengagumkan. AMD Ryzen 3 3300X akan menawarkan binaan empat teras dan lapan thread yang mampu memberikan julat 3.8GHz sehingga 4.3GHz.

Skor Geekbench 4 yang dikongsikan seorang pengguna di Twitter menunjukkan Ryzen 3 3300X mendapatkan skor teras tunggal 5,874 dan skor multi-teras 20,948. Untuk perbandingan, Intel Core i7 7700K berjaya memperoleh skor teras tunggal 5,818 dan skor multi-teras 20,329 dalam ujian yang sama.
Diumumkan secara rasmi awal minggu ini, barisan Ryzen 3 yang terbaru akan mula dijual pada bulan Mei nanti. Ryzen 3 3300X dan Ryzen 3 3100 menggabungkan seni bina Zen 2 yang digunakan di kesemua model Ryzen 3000 – sehingga Ryzen 9 3950X 16-teras.
Jangan lupa ikuti perkembangan dunia PC dan permainan video melalui Facebook eRing dan juga laman web rasmi!

