
Rangkuman Acara WWDC 2016 : watchOS 3
Acara berprestij yang dianjurkan Apple WWDC 2016 pada saban tahun telah membuka tirainya pada awal pagi 14 Jun. Selain perkenalkan sistem iOS 10 dan macOS Sierra yang terbaru, Apple turut membentangkan perkembangan baru sistem operasi watchOS untuk Apple Watch.
Sistem operasi terbaru watchOS kini telah memasuki versi ke-3. Menawarkan kemaskini terbaru, watchOS 3 mampu beroperasi sehingga 7x lebih pantas berbanding versi sebelumnya.
Selain itu, Apple turut menampilkan beberapa fungsi baru pada watchOS 3 di mana butang Digital Crown kini dikenali sebagai butang Dock yang berfungsi memaparkan aplikasi kegemaran. Jika butang Dock ditekan lama, ia akan membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa tempatan.
watchOS 3 turut dilengkapi akses kepada ruang tetapan pantas Control Centre dengan mudah. Sama seperti di iOS, hanya leretkan tangan pada skrin dari bawah ke atas untuk mengubah tetapan seperti mod penerbangan, deringan, getaran, dan beberapa lagi.
Membalas mesej turut naiktaraf dengan fungsi tambahan Scribble. Paparan skrin Apple Watch boleh digunakan untuk menulis huruf di atasnya, yang akan dikesan dan diubah menjadi perkataan secara automatik.
Aktiviti kesihatan menerima kemaskini yang menyeluruh, antaranya dengan tambahan fungsi perkongsian aktiviti. Jika berhubung, pengguna boleh melihat langkah, kalori dan degupan jantung rakan menerusi Apple Watch sendiri.
Khas untuk pengguna kerusi roda, Apple menjadikan watchOS 3 peka kepada aktiviti kecergasan mereka. Menariknya, ia boleh mengira pusingan roda pengguna, sekali gus membuat kiraan kalori dan degupan jantung dengan lebih tepat.
Menurut Apple lagi, dengan kemaskini terbaru watchOS 3, ia memperlihatkan Apple Watch seperti sebuah jam tangan pintar serba baru. Sistem operasi watchOS 3 kini telah boleh dimuat turun untuk pembangun dan akan dilancarkan kepada semua pengguna sekitar bulan Oktober kelak.
- Rangkuman Acara WWDC 2016 : iOS 10
- Rangkuman Acara WWDC 2016 : macOS Sierra
- Rangkuman Acara WWDC 2016 : Aplikasi Swift Playground