
Tahun 2018 kini telah pun melabuhkan tirainya dan sepanjang tahun tersebut juga, kita dapat melihat pelbagai inovasi serta teknologi terbaru yang diperkenalkan. Ada yang dilihat tampil menarik, malah tidak kurang juga yang terlihat pelik pada mata dunia. Justeru, di sini kami senaraikan antara ‘trend’ dan inovasi baru yang wujud sepanjang tahun 2018.

📌 : Trend Ruang Bezel Nipis
Trend peranti dengan ruang bezel yang nipis nampak belum berakhir, tetapi dilihat terus “berlegar – legar” sepanjang tahun 2018 apabila semakin banyak pengeluar dilihat berlumba-lumba ‘trim’ sekitar telefon pintar keluaran mereka. Rekaan ini menjadi kegilaan ramai pengeluar telefon pintar sepanjang tahun ini selain kelihatan agak menarik di mata pengguna.
📌 : Trend Skrin Takuk & Lubang
Telefon pintar dengan skrin takuk sebenarnya bukan perkara baru, sebaliknya ia terlebih dahulu diperkenalkan pada model iPhone X pada 2017. Bagaimanapun, rekaan ini terus mendapat perhatian ramai pada tahun 2018 dan para pengeluar pula tidak henti-henti ‘meniru’ untuk menghasilkan telefon pintar dengan skrin bertakuk.

Tidak terkecuali, tahun ini juga terhasilnya reka bentuk skrin takuk kecil yang unik sebesar titisan air dikenali sebagai ‘Waterdrop’ dan ‘Dewdrop’. Lebih ekstrim, kita juga menyaksikan dunia peranti kini melangkah ke teknologi lebih inovatif dengan penawaran skrin berlubang yang mana menempatkan kamera swafoto.

📌 : Trend Rekaan Peranti Gelongsor & Lipat
2018 turut menyaksikan kehadiran semula kehangatan ‘fenomena’ peranti gelongsor dan lipat kembali menyapa dunia telefon pintar. Malah, ‘trend’ ini turut menerima penambahbaikan yang luar biasa bagi terlihat menarik dan unik. Contohnya seperti Xiaomi Mi Mix 3, HONOR Magic 2 dan banyak lagi.

📌 : Peningkatan CPU & GPU Lebih Baik
Tahun 2018 menyaksikan perubahan dunia telefon pintar yang sangat drastik dengan penawaran penambahbaikan CPU & GPU terbaik. Contoh paling ketara adalah pengenalan cip pemproses keluaran HUAWEI iaitu Kirin 980 – cip berteknologi tinggi pertama di dunia dibina berasaskan 7nm. Contoh lain adalah kemunculan Snapdragon 855 oleh Qualcomm – mempunyai prestasi AI sehingga 3 kali lebih berkuasa berbanding versi sebelumnya.

📌 : Sistem Pengimbas Cap Jari Terbina Pada Skrin
Jika sebelum ini pengimbas cap jari dihasilkan di bahagian luar kerangka peranti tetapi kali ini ia terbina di dalam iaitu di bawah paparan skrin telefon anda. vivo merupakan syarikat yang pertama menghasilkan teknologi kompleks ini dan kemudiannya, menjadi ikutan ramai pengeluar peranti pintar lain.

📌 : Ketersediaan Kamera Lebih Daripada 3 Lensa + ToF 3D
Penyediaan kamera utama lebih daripada 3 lensa dilihat telah mempelopori dunia gajet pada tahun 2018. Bermula dengan jenama Samsung melalui model Samsung Galaxy A9 (2018). Kemudiannya diikuti pula dengan HUAWEI menerusi siri Mate 20 iaitu Mate 20, Mate 20 Pro dan Mate 20 X. Selain itu, kita juga dapat melihat lensa TOF 3D (untuk pengimbasan wajah 3D) semakin giat digunakan pada tahun 2018.

📌 : Pengecasan Pantas & Pengecasan Tanpa Wayar
Teknologi pengecasan pantas merupakan trend yang popular. Malah, semakin hari ia dilihat semakin di perluaskan dan berkembang lebih pesat. Tidak ketingglan, kebanyakan telefon pintar juga kini mempunyai kebolehan pengecasan tanpa wayar (wayarles). Pun begitu, ia masih belum begitu popular dalam kalangan pengguna.

📌 : Telefon Bajet Dengan Ciri SUPERB!
Boleh dikatakan tahun 2018 merupakan tahun yang banyak hadir dengan penawaran telefon pintar pada harga mesra poket tetapi hadir dengan sejumlah ciri spesifikasi yang super-duper awesome! Ia termasuk dilengkapi cip canggih, penawaran ruang storan yang tinggi dan sebagainya. Contoh model yang paling ketara adalah HONOR 8X dan siri Realme 2.

Jadi, apa pendapat anda tentang inovasi dan teknologi terbaru ini? Kami sangat berminat dengan perkongsian pendapat anda semua. Jangan lupa kongsikan di ruangan komen ya! Jangan lupa juga stay tuned bersama eRing! Adios!
____________________________________________________
Artikel Berkaitan :
- Perbandingan Peranti Setaraf Dengan Honor 8X, Siapa Lebih Menyerlah?!
- Siri Realme 2 Diperkenalkan Di Malaysia – Harga Bermula RM449
- Xiaomi Mi MIX 3 Dilancarkan – Paparan Skrin Penuh, Rekaan Slide & Snapdragon 845
- Reviu Eksklusif: Samsung Galaxy A9 (2018) Apa Hebatnya? Inilah 5 Perkara Yang Perlu Anda Tahu, Tetapi…

